Buru pahala Lailatul Qadar

Buru pahala Lailatul Qadar

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Menjelang 10 malam terakhir Ramadan, umat Islam diingatkan supaya melipatgandakan amal ibadah sebanyak mungkin untuk meraih ganjaran pahala lebih 1,000 bulan yang dianugerahkan Allah S.W.T pada malam istimewa ‘Lailatul Qadar.’

Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini berkata, Lailatul Qadar merupakan satu malam yang paling utama di antara malam-malam yang lain, malam di mana Allah S.W.T mengampunkan dosa-dosa bagi mereka yang beribadah dengan penuh keikhlasan serta mengharapkan keredaanNya semata-mata. Memetik hadis daripada Ibnu Hurairah R.A., Nabi S.A.W. bersabda: Barang siapa mengerjakan ibadah pada malam Laila Qadar kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredhaan nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu.”

Menurut khatib, malam yang istimewa itu dianugerahkan oleh Allah S.W.T. kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. bagi memuliakan mereka, bahkan pemberian ini tidak pernah berlaku kepada umat-umat yang sebelumnya. “Ini adalah kerana mereka (umat-umat yang sebelumnya) memiliki nikmat umur yang panjang dalam mengerjakan amal ibadah. Perkara ini telah menyebabkan timbulnya perasaan cemburu dalam diri para sahabat kerana tidak mungkin mereka akan mampu menandingi amalan umat-umat sebelumnya. Oleh sebab itu, Allah S.W.T. menganugerahkan umat Nabi Muhammad S.A.W. dengan Lailatul Qadar,” jelas khatib.

Menurutnya, banyak riwayat yang mengatakan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada 10 malam terakhir bulan Ramadan, kemungkinan besar pada malam yang ganjil, iaitu malam 21, 23, 25, 27 atau malam 29.

Imam Syafi’ie menyatakan, malam Lailatul Qadar berlaku secara berbeza-beza pada setiap tahun. Jika tahun ini berlaku pada malam 21, pada tahun yang lain pula berlaku pada malam yang lain. Ketidakpastian ini ada hikmahnya yang sangat besar, yang mana ia membuatkan kita bersungguh-sungguh berusaha untuk mencari malam Lailatul Qadar. Menurut Khatib, terdapat tanda berlakunya Lailatul Qadar itu, antaranya ialah suasana malam yang sunyi dan sepi, penuh dengan ketenangan serta bercahaya, segar, tidak panas dan tidak sejuk. Keadaan ini berterusan sehinggalah terbitnya waktu fajar. Pada waktu pagi pula, matahari akan naik berwarna putih, tidak memancarkan cahaya sinar yang terik.

Rasulullah S.A.W. menghidupkan malam-malam Ramadan dengan melakukan berbagai amalan-amalan kebajikan melebihi daripada yang biasa baginda lakukan pada malam-malam yang lain termasuk dengan beriktikaf.

Sehubungan itu, khatib mengingatkan agar janganlah memandang remeh segala amalan-amalan sunat, kerana amalan sunatlah yang akan menampal kekurangan serta kecacatan yang kita lakukan dalam amalan fardu kita.

ARTIKEL YANG SAMA