Burundi guna asid seksa penentang – Amnesti

Burundi guna asid seksa penentang – Amnesti

NAIROBI, 24 Ogos (AFP) – Pasukan keselamatan Burundi menggunakan batang besi dan asid untuk memaksa pengakuan serta menumpaskan pembangkang ketika bidaan yang berjaya bagi Presiden Pierre Nkurunziza untuk berkuasa penggal ketiga pemerintahannya, menurut Amnesti Internasional.

Beberapa testimoni yang direkodkan oleh Amnesty dalam laporannya menuduh kedua-dua polis dan Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (SNR) melakukan “penyeksaan dan layanan buruk lain” sejak April 2015 ke atas mereka yang disyaki mengambil bahagian dalam bantahan ke atas pemilihan semula Nkurunziza sebagai presiden.

Polis memukul dengan kabel elektrik dan baton, sementara SNR menggunakan batang besi, selain “menyelamkan kepala tahanan” ke dalam air kotor,” kata laporan itu yang bertajuk “Just tell me what to confess to.”

Seorang lelaki yang diberkas di negara Afrika tengah itu pada Jun menunjukkan kepada Amnesti tanda parut di badannya akibat pukulan dengan batang besi, sebelum dia dipaksa untuk berbogel.

“Mereka mengambil kontena lima liter yang dipenuhi dengan pasir lalu mengikatnya pada kemaluan saya selama lebih sejam, menyebabkan saya pengsan,” seorang lelaki memberitahu Amnesti, dalam laporan yang diterbitkan di Nairobi, ibu negara Kenya.

“Selepas itu saya dipaksa lagi duduk di dalam air asid bateri…is amat menyakitkan.”

Wartawan Burundi, Esdras Ndikumana, 54, yang bertugas dengan Agence France-Presse (AFP) dan Radio France International (RFI), juga turut menjadi mangsa pemukulan oleh anggota SNR selama kira-kira dua jam. Testimoninya turut dimasukkan ke dalam laporan tersebut.

Amnesti turut berkata ia cuba untuk menghubungi polis dan SNR, tetapi tidak menerima sebarang respons ke atas laporan berkenaan.