Burung bawa nota ‘ancam’ Modi ditahan

Burung bawa nota ‘ancam’ Modi ditahan

NEW DELHI, 3 Okt – Polis India hari ini berkata mereka telah menahan seekor burung merpati selepas ia didapati membawa nota amaran yang ditujukan kepada Perdana Menteri Narendra Modi berhampiran kawasan sempadan zon tentera di negara itu dengan Pakistan.

Para pegawai Pasukan Keselamatan Sempadan (BSF) menemui burung itu di Pathankot di negeri utara Punjab, yang mana militan-militan yang berpangkalan di Pakistan melancarkan serangan yang membawa maut ke atas pangkalan tentera udara pada Januari lalu.

“Kami telah menahannya petang semalam,” inspektor polis Pathankot Rakesh Kumar memberitahu AFP melalui telefon.

“BSF menemuinya bersama nota dalam bahasa Urdu yang menyatakan sesuatu seperti “Modi, kami bukan orang yang sama dari tahun 1971. Kini setiap kanak-kanak bersedia untuk berjuang menentang India,” kata Kumar.

Kedua-dua negara berjiran itu terlibat dalam peperangan besar-besaran ketiga dan terakhir dalam tahun 1971.

Nota itu jelas ditandatangani oleh kumpulan militan Lashkar-e-Taiba (LeT) berpangkalan di Pakistan, ‘justeru itu kami sedang menyiasat perkara itu dengan sangat serius,” kata Kumar lagi.

Ini bukan kali pertama burung-burung dilibatkan dalam persengketaan yang telah berlarutan berdekad-dekad lamanya yang kerap membawa kematian antara kedua-dua negara nuklear ini.

Namun ketegangan meningkat ekoran serbuan ke atas sebuah pangkalan tentera India di Kashmir dua minggu lalu yang mana New Delhi mengatakan kumpulan militan yang sama adalah dalang yang bertanggung jawab di atas serangan pada Januari lalu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA