Burung disumbat dalam botol untuk jualan haram

Burung disumbat dalam botol untuk jualan haram

SURABAYA, Indonesia, 6 Mei (AFP) – Polis Indonesia telah memberkas seorang penyeludup hidupan liar yang disyaki, selepas menemui hampir dua dozen burung hidup yang jarang dijumpai, kebanyakannya burung kakak tua berjambul kuning, yang disumbatkan dalam botol air plastik di dalam bagasinya.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan polis Isnin lalu ketika turun dari sebuah kapal penumpang di Surabaya, sebuah bandar di pulau utama Jawa.

Gambar-gambar menunjukkan burung-burung, dengan bulu kuning tersendiri, melihat-lihat keluar dari botol selepas ditemui oleh para pegawai. Bahagian bawah botol telah dipotong untuk mengasak burung-burung ke dalamnya.

Ketua unit penyiasatan jenayah di pelabuhan Tanjung Perak, Alday Sulaiman berkata pihak polis menemui burung-burung itu disembunyikan di dalam bagasi lelaki itu.

“Kami menemukan 21 ekor burung kakak tua berjambul kuning dan seekor burung nuri hijau,” katanya.

Seorang anggota polis memegang botol air di mana seekor burung kakak tua berbulu kuning di dada disumbatkan, untuk perdagangan haram di pejabat kastam Tanjung Perak, Surabaya. - AFP
Seorang anggota polis memegang botol air di mana seekor burung kakak tua berbulu kuning di dada disumbatkan, untuk perdagangan haram di pejabat kastam Tanjung Perak, Surabaya. – AFP

“Kesemua burung ditemui di dalam botol air, yang dibungkus dalam tong.”

Burung-burung itu telah dihantar ke pejabat pemuliharaan sumber semula jadi Indonesia yang menangani kes-kes penyeludupan hidupan liar.

Sulaiman berkata lelaki itu – yang identitinya tidak didedahkan mengikut prosedur jenayah biasa di Indonesia – mengakui membawa dua ekor burung untuk seorang rakan tetapi mendakwa tidak tahu apa-apa tentang haiwan lain.

Jika didapati bersalah menyeludup, lelaki itu, dari kawasan berhampiran Surabaya, mungkin berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Burung kakak tua berjambul kuning adalah burung asli Indonesia dan negeri jiran Timor Leste dan dianggap spesis yang begitu terancam, menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Semula Jadi.

Ia berbeza dengan burung kakak tua lebih besar dan burung kakak tua putih biasa yang kebanyakannya ditemui di Australia dan New Guinea.

ARTIKEL YANG SAMA