‘Burung merak emas’ maut

‘Burung merak emas’ maut

BEIJING, 14 Nov – Wanita pertama yang menerbangkan jet pejuang J-10 China terkorban dalam nahas ketika latihan aerobatik, lapor media kerajaan hari ini.

Yu Xu, 30 tahun, anggota pasukan persembahan aerobatik “August 1st” angkatan tentera udara China, melentingkan dirinya dari jet pejuangnya ketika dalam satu latihan di wilayah utara Hebei pada hujung minggu lalu, lapor akhbar China Daily.

Dia terkena sayap jet pejuang lain dan terbunuh, lapornya, meskipun juruterbang bersamanya melentingkan diri dan terselamat.

“Sebagai salah seorang daripada empat juruterbang wanita di negara itu yang mampu menerbangkan jet pejuang tempatan, kematiannya merupakan satu kehilangan besar bagi angkatan tentera udara China,” lapor akhbar Global Times.

Gambar yang diambil pada 11 November 2014 menunjukkan Yu Xu ketika bersiap sedia untuk melakukan Pameran Udara China di Zhuhai. – AFP
Gambar yang diambil pada 11 November 2014 menunjukkan Yu Xu ketika bersiap sedia untuk melakukan Pameran Udara China di Zhuhai. – AFP

Yu, dari Chongzhou di wilayah barat daya Sichuan, telah menyertai Angkatan Tentera Udara Pembebasan Rakyat (PLA) pada tahun 2005, menurut laporan.

Dia lulus dari latihan empat tahun kemudian, salah seorang dari 16 juruterbang wanita China pertama yang layak menerbangkan jet pejuang, lapor China Daily dan pada Julai 2012 dia adalah wanita pertama yang menerbangkan jet pejuang J-10. Para peminat menggelarnya ‘burung merak emas’, tambahnya lagi. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA