Busana hitam lambang solidariti

ACARA karpet merah Anugerah Golden Globe ke-75 yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan semua bintang terkenal Hollywood tampil mengayakan pakaian berwarna hitam.

Warna itu dipilih sebagai solidariti dan sokongan terhadap gerakan Time’s Up Movement bagi menentang keganasan dan gangguan seksual yang berlaku dalam kalangan penggiat seni Hollywood.

Malah pelakon lelaki juga menunjukkan sokongan dengan memilih warna sama pada acara itu.

Sementara itu, acara tahunan itu menyaksikan drama berjudul Three Billboards Outstanding Ebbing, Missouri memenangi empat trofi termasuk Drama Terbaik dan Aktres Terbaik menerusi lakonan Frances McDormand.

Pelakon Lelaki Terbaik pula milik Gary Oldman (Darkest Hour) manakala Saoirse Ronan (Lady Bird) dan James Franco (The Disaster Artist) membawa pulang trofi Pelakon Terbaik Kategori Muzikal atau Komedi.

Warna hitam menjadi pilihan barisan selebriti di Anugerah Golden Globe ke-75 sebagai solidariti dan sokongan terhadap gerakan Time’s Up Movement bagi menentang keganasan dan gangguan seksual yang berlaku dalam kalangan penggiat seni Hollywood.

Manakala sitkom Lady Bird pemenang Komedi Terbaik dan bagi Kategori TV, siri terbitan HBO iaitu Big Little Lies membawa pulang trofi Siri Mini Terbaik.

Pelakon Nicole Kidman turut membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik (Big Little Lies) dan Ewan McGregor (Fargo) Pelakon Lelaki Terbaik bagi Siri Mini.

Sementara itu, filem animasi Coco memenangi Filem Animasi Terbaik manakala lagu This Is Me daripada filem The Greatest Showman menang Lagu Terbaik Dalam Filem.

Anugerah Golden Globe ke-75 berlangsung di Hotel Beverly Hilton, California dan ia dihoskan oleh Seth Meyers. – Agensi