Butik Mimi Az-Zahraa dibuka rasmi

Butik Mimi Az-Zahraa dibuka rasmi

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 27 Nov – Bagi menampung permintaan pelanggannya yang semakin ramai di Negara Brunei Darussalam, seorang pengusaha butik Muslimah dari Malaysia yang menjual pakaian dari Dubai dan Kuala Lumpur telah membuka butiknya di negara ini yang dinamakan Mimi Az-Zahraa Muslimah Collections di Tingkat 1, Bangunan TYC (pejabat Bank Baiduri), di sini.

Perasmian butik berkenaan, hari ini, telah disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan PERTIWI cawangan Daerah Belait, Dayang Fatimah binti Tanji.

Dalam temu bual bersama pemilik butik berkenaan, Hajah Rusmimi binti Musa memberitahu beliau tiba di Brunei pada awal tahun ini dan telah berhasrat untuk menyebarkan perniagaannya di sini.

“Bermula dari Malaysia, sudah lima tahun saya mempunyai perniagaan dan menjual pakaian yang diimport dari Dubai dan Kuala Lumpur seperti pakaian-pakaian Muslimah, pakaian kanak-kanak, jubah, tudung, telekung, aneka keperluan Muslimah, produk kesihatan dan produk kosmetik menerusi laman web (online seller).

Hajah Rusmimi (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Pengerusi PERTIWI cawangan Daerah Belait.
Hajah Rusmimi (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Pengerusi PERTIWI cawangan Daerah Belait.

“Untuk memenuhi permintaan pelanggan-pelanggan di negara ini, saya berusaha mencari tempat untuk membuka kedai dan Alhamdulillah saya bertemu dengan seorang lagi pengusaha perniagaan fesyen pakaian dalam wanita di sini dan berkongsi kedai dengan beliau,” jelasnya.

Kedai butik Mimi Az-Zahraa ketika ini merupakan sebuah kedai ‘sublet’ yang berkongsi kawasan unit yang sama dengan pemilik kedai Lilli Lingerie, Dayang Lili Yong.

Dengan sokongan moral daripada ahli-ahli PERTIWI cawangan Daerah Belait yang lain, Hajah Rusmimi yang baru menjadi ahli pada awal tahun ini juga tekun untuk membawa barang-barangan import untuk dijual di sini selepas melihat potensi pasaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat wanita di negara ini.

Bagi membantu pengusaha-pengusaha dalam talian yang lain di daerah ini, beliau juga menyediakan ruang kotak kiub untuk mereka yang ingin menempatkan jualan barangan mereka di kedainya.

ARTIKEL YANG SAMA