Butik Patchi kedua dibuka

Butik Patchi kedua dibuka

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Para penggemar coklat jenama premium, Patchi, kini boleh mendapatkan coklat kegemaran mereka di butik kedua coklat premium tersebut di Dewan Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, yang mula dibuka hari ini.

Majlis pembukaan butik itu dihadiri oleh Pengerusi Kumpulan Syarikat Jati, Pengiran Anak Haji Ja’afar Ibni Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, para pengarah syarikat, kakitangan Al-Helwa Sdn Bhd dan jemputan lainnya.

Butik Patchi menawarkan pelbagai pilihan coklat lazat yang boleh dinikmati secara persendirian atau dalam pelbagai bungkusan menarik termasuk koleksi tin istimewa.

Di samping itu, coklat Patchi juga boleh diperoleh dengan pelbagai gubahan istimewa dan menarik yang memenuhi keperluan setiap pelanggan.

Menurut pengurusnya, Mariane Olgado, butik yang dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei merupakan yang kedua bagi jenama coklat premium Patchi di Negara Brunei Darussalam, di mana butik pertama iaitu di The Mall, Gadong dibuka pada 2004.

Pengiran Anak Haji Ja’afar, para pengarah syarikat serta kakitangan bergambar-ramai di hadapan Butik Kedua, Patchi, yang dibuka bermula hari ini.
Pengiran Anak Haji Ja’afar, para pengarah syarikat serta kakitangan bergambar-ramai di hadapan Butik Kedua, Patchi, yang dibuka bermula hari ini.

Pemilihan lokasi butik kedua di lapangan terbang itu, jelasnya, mengambil kira kedudukan serta lokasi yang sesuai dengan jenama berkenaan. Beliau juga turut menyimpan harapan untuk menambah jumlah butik yang ada pada masa hadapan.

Butik kedua Patchi, ulasnya lagi, menawarkan pelbagai pilihan coklat-coklat premium dan terkenal Patchi, di mana ia amat sesuai sebagai buah tangan bagi pelbagai jenis majlis dan perayaan.

Jenama coklat terkenal itu, bertapak di sebanyak 27 buah negara dengan rangkaian sebanyak 144 butik dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat pada masa akan datang.

Butik Patchi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dibuka setiap hari bermula dari pukul 7 pagi hingga 10 malam kecuali pada Jumaat di mana ia ditutup sementara dari pukul 12 tengah hari hingga 2 petang.

ARTIKEL YANG SAMA