Butir-butir letupan China masih tidak jelas

Butir-butir letupan China masih tidak jelas

BEIJING, 14 Ogos (dpa) – Butir-butir letupan besar di sebuah gudang bahan kimia di timur laut China masih tidak jelas, kata seorang pegawai hari ini, sementara siasatan diteruskan.

“Kami belum pasti jenis bahan kimia berkenaan,” kata Gao Huaiyou, penolong pengarah keselamatan kerja untuk bandar pelabuhan Tianjin. “Kami juga tidak mengetahui kuantitinya,” beritahunya kepada wartawan.

Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dan 700 cedera apabila letupan dan bola api melanda gudang bahan kimia pada lewat Rabu. Sekurang-kurangnya 17 daripada mangsa kematian adalah krew bomba yang cuba memadamkan kebakaran, dengan 21 kakitangan penyelamat masih hilang.

Lebih daripada 70 orang yang cedera berada dalam keadaan parah.

Besarnya letupan awal pada lewat Rabu adalah sama dengan 3 tan TNT meletup dan besarnya letupan kedua adalah bersamaan dengan 21 tan TNT, kata biro gempa bumi China semalam.

Seorang wanita meletakkan dian dalam upacara menghormati mangsa-mangsa yang terkorban dalam letupan itu. - Reuters
Seorang wanita meletakkan dian dalam upacara menghormati mangsa-mangsa yang terkorban dalam letupan itu. – Reuters

Operator pelabuhan Kumpulan Pelabuhan Tianjin berkata semalam “berpuluh” daripada pekerjanya masih hilang.

Gao berkata mengenal pasti bahan dalam gudang menjadi lebih sukar disebabkan perbezaan besar antara akuan yang disimpan oleh syarikat, dan rekod kastam. Banyak dokumen juga musnah.

Tapak yang terjejas telah dirancang semula untuk menyimpan bahan kimia berbahaya, tetapi kargo tersebut hanya disimpan di sana untuk tempoh maksimum 40 hari, kata beliau.

Satu kumpulan yang terdiri daripada 217 pakar kimia telah dihantar ke tempat kejadian lewat semalam, lapor Xinhua.

Televisyen negeri melaporkan gudang itu terletak 600 meter dari rumah paling dekat, apabila ia sepatutnya tidak boleh lebih dekat daripada 1,000 meter mengikut undang-undang.