Button umum persaraan di Suzuka?

Button umum persaraan di Suzuka?

LONDON, 22 Sept (Reuters/Agensi) – Andai McLaren menambah gajinya beberapa juta pound lagi pun ia belum cukup untuk mengekalkan Jenson Button yang tawar hati dan mahu bersara daripada perlumbaan Formula Satu (F1) pada penghujung musim.

Berita persaraan dijangka diumumkan pada Grand Prix Jepun di Suzuka minggu ini. Ia trek kegemaran pemandu Britain itu dan kebetulan isterinya Jessica Michibata berasal dari negara terbabit.

Button, 35 difahamkan bersedia meninggalkan perlumbaan kemuncak permotoran yang disertai sebanyak 16 musim.

Gambar fail 16 September 2015 menunjukkan Jenson Button berlumba menggunakan simulator pada acara promosi sempena Grand Prix Formula Satu di Singapura. – AFP
Gambar fail 16 September 2015 menunjukkan Jenson Button berlumba menggunakan simulator pada acara promosi sempena Grand Prix Formula Satu di Singapura. – AFP

Beliau meraih gelaran juara dunia bersama Brawn GP pada 2009 dan memenangi 15 pertarungan Grand Prix daripada 278 perlumbaan. Button mencipta nama dalam F1 sejak memandu Williams pada usia 19.

McLaren musim ini tidak mampu bersaing dan enjin Honda diguna tidak bertahan lama serta tidak cukup laju untuk mencabar Mercedes, Renault dan Ferrari.

“Keseronokan memacu kereta F1 apabila pelumba mampu bersaing di depan dan mendapat sesuatu,” kata Button selepas gagal mengutip sebarang mata di Singapura pada hujung minggu lepas.