BWF perkenal cadangan 11 mata permainan

BWF perkenal cadangan 11 mata permainan

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Cadangan memperkenal sistem pemarkahan baharu 11 mata berbanding 21 mata digunakan sekarang dalam kejohanan badminton adalah bagi menggalakkan pemain muda lebih kompetitif dalam permainan pantas.

Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Poul-Erik Hoyer Larsen berkata badminton perlu kepada perubahan dan cabaran bagi memastikan sukan berkenaan terus menjadi antara sukan popular di dunia.

“Tiga perkara saya cuba hendak tekankan, pertama, kita tahu generasi muda mahu keputusan yang cepat, dan ini dapat menarik minat mereka menceburi sukan badminton.

“(Mereka juga mahu) cepat memenangi perlawanan, lebih agresif dan ini menjadikan perlawanan bertambah menarik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Liga SS Purple 2016/17, di sini hari ini.

Sebuah portal sukan melaporkan sistem pemarkahan 11 mata dicadangkan BWF itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada pemain terutama pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang menyokong sistem 11 mata itu kerana ia memberi kelebihan kepada pemain berpengalaman.

Sebelum ini, BWF memberi dua pilihan di bawah sistem permarkahan baharu itu, sekiranya kedua-dua pemain mencapai 10 mata, iaitu dengan menetapkan kelebihan dua mata atau maksimum 15 mata untuk menentukan pemenang.

Mengulas lanjut, Hoyer Larsen, bagaimanapun berkata tiada bukti daripada mana-mana kajian bahawa pemain senior akan memenangi lebih banyak perlawanan jika sistem permarkahan baharu itu dilaksanakan kelak.

“Saya merasakan pendapat itu (daripada Chong Wei) adalah baik, kami sudahmenguji sistem permarkahan baharu itu, tetapi tiada bukti daripada mana-mana kajian pemain berpengalaman akan meraih lebih banyak kemenangan.

“Pemain perlu kepada ketangkasan, jika mereka yang mempunyai kekuatan mental semasa beraksi dalam sesuatu perlawanan itu ketika kedudukan mata terikat, mereka mungkin memiliki kelebihan,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA