Caballero buat Pellegrini bangga

Caballero buat Pellegrini bangga

MANCHESTER, 1 Mac (Agensi) – Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini menegaskan dia lebih rela gagal memenangi trofi berbanding hilang kepercayaan daripada barisan pemainnya selepas membuat keputusan menurunkan penjaga gol kedua, Willy Caballero ketika aksi final Piala Liga menentang Liverpool, kelmarin.

Keputusan Pellegrini itu bagaimanapun berbaloi apabila Caballero menggagalkan tiga sepakan penalti Liverpool untuk membantu City menjulang trofi Piala Liga dengan kemenangan 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga tamat masa tambahan.

Di sebalik tekanan daripada pihak media yang mahukan penjaga gol antarabangsa England, Joe Hart menjaga gawang pasukan itu, Pellegrini kekal dengan keputusannya menurunkan Caballero yang hanya empat kali membuat penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris sejak berpindah dari Malaga pada Julai 2014.

Aksi Caballero menyelamatkan bola dari memasuki gawang ketika pusingan penalti perlawanan Manchester City menentang Liverpool. – Reuters
Aksi Caballero menyelamatkan bola dari memasuki gawang ketika pusingan penalti perlawanan Manchester City menentang Liverpool. – Reuters

“Saya lebih rela terlepas gelaran daripada hilang kata-kata saya. Kata-kata saya lebih penting daripada bola sepak… saya gembira kerana menang dengan cara ini apabila Willy menjadi wira kami.

“Mungkin hampir semua media menunggu dia membuat kesilapan dan mengkritik keputusan saya tetapi saya berjanji dia akan bermain dalam kedua-dua saingan piala.

“Saya tidak pernah hilang kepercayaan terhadap dirinya kerana saya tahu dia pemain bagus,” kata Pellegrini.

City yang menghuni tangga keempat liga dengan ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Leicester City tetapi mempunyai satu perlawanan di tangan akan berkunjung ke Anfield bagi bertemu Liverpool, awal pagi Khamis ini.