Cabaran 4×4 Daerah Tutong

Cabaran 4×4 Daerah Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 21 Ogos – Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun bagi Daerah Tutong, Persatuan Kenderaan Pacuan Empat Roda Daerah Tutong, hari ini, mengadakan Pertandingan Kereta Tahan Lasak Pacuan 4 Roda bagi peringkat saringan di kawasan lapang berdekatan Mahad Islam Brunei, di sini.

Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori perseorangan terbuka dan kategori berpasukan.

Yang Di-Pertua Persatuan Kenderaan Pacuan Empat Roda Daerah Tutong, Awang Sha’ahri bin Haji Zunaidi berkata, penyertaan pada tahun ini amat menggalakkan berbanding pada tahun-tahun sebelumnya.

Pada tahun ini, seramai 56 orang peserta perseorangan termasuk empat orang dari negeri jiran mengikuti kategori perseorangan, manakala itu, 15 buah kumpulan menyertai kategori berpasukan yang akan diadakan semasa peringkat akhir dijalankan pada 28 Ogos ini.

Pertandingan tersebut bertujuan menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Semasa Pertandingan Kereta Tahan Lasak Pacuan Empat Roda peringkat saringan dijalankan.
Semasa Pertandingan Kereta Tahan Lasak Pacuan Empat Roda peringkat saringan dijalankan.

Menurut Awang Sha’ahri, pertandingan ini juga adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penggemar pacuan empat roda di Brunei dan negara jiran, di samping mendedahkan mereka tentang keselamatan dan disiplin ketika mengendalikan kenderaan pacuan empat roda dalam suasana tahan lasak dan mencabar.

Pertandingan tersebut yang dijalankan sejak tahun 1996 diharapkan dapat diteruskan dari semasa ke semasa, ujar beliau.

Sementara itu, Bendahari Persatuan Kenderaan Pacuan Empat Roda Daerah Tutong, Awang Hamdan bin Haji Narudin pula berkata, seramai 20 orang peserta perseorangan yang berjaya dan teratas akan dibawa ke peringkat akhir pada 28 Ogos ini.

Salah sebuah pasukan yang akan menyertai dalam kategori berpasukan pada pertandingan akhir itu nanti ialah Pasukan La Nina yang berasal dari Daerah Brunei dan Muara.

Salah seorang peserta pasukan berkenaan yang sempat ditemui, Awang Bandang bin Prayam memberitahu, pada tahun ini, mereka menyertai dalam kategori perseorangan dan berpasukan.

Mereka telah menyertai pertandingan tersebut sejak tahun 2010, dan pernah mengikuti beberapa pertandingan seperti ini dan pernah memenangi hadiah bagi acara perseorangan dan juga berpasukan.

Pasukan La Nina yang menyertai pertandingan tersebut.
Pasukan La Nina yang menyertai pertandingan tersebut.

Menurut beliau, mereka bukan hanya tertumpu untuk mengejar kemenangan sebaliknya untuk melibatkan diri dalam sama-sama memeriahkan lagi suasana pertandingan dan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan yang ke-70 tahun.

Mengulas mengenai penjagaan kereta pacuan empat roda, Awang Bandang menjelaskan, kereta yang digunakannya dalam pertandingan itu merupakan sebuah kereta lama yang terabai, lalu diubah suai dengan membeli barang-barang pacuan empat roda dari bengkel-bengkel kereta di negara ini yang menelan belanja hampir $5,000.

Menurutnya, walaupun kereta tersebut sudah pun dianggap lama, namun jika dijual, ia masih mempunyai nilai yang tinggi terutama bagi penggemar-penggemar pacuan empat roda.

Beliau berharap pertandingan seperti ini akan diadakan dari semasa ke semasa dan akan dapat membuka peluang kepada peserta-peserta yang baru untuk mengikutinya.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan berkunjung bagi menyaksikan dan memeriahkan lagi suasana pertandingan pada 28 Ogos ini bermula jam 8 pagi hingga selesai, di kawasan lapang berdekatan Mahad Islam Brunei, di sini.

ARTIKEL YANG SAMA