Cabaran Basikal Gunung Antarabangsa Langkawi 20 Okt

Cabaran Basikal Gunung Antarabangsa Langkawi 20 Okt

PUTRAJAYA, 9 Julai (Bernama) – Hari ini menandakan 100 hari menjelang edisi keenam Cabaran Basikal Gunung Antarabangsa Langkawi (LIMBC) Tradewinds 2015.

Perlumbaan berbasikal bukit yang menawarkan hadiah paling lumayan di Asia itu akan berlangsung dari 20 hingga 24 Oktober.

Penganjur perlumbaan, Human Voyage komited dalam mewujudkan legasi yang berkekalan kepada penduduk di pulau legenda itu, terutamanya kepada kanak-kanak sekolah agar menceburi sukan berbasikal.

“Dalam kita mengalu-alukan penganjuran kejohanan ini kepada dunia pada Oktober, kami kekal komited untuk membawa sukan berbasikal lebih dekat kepada rakyat. Tahun ini, kami ingin membuat lebih istimewa untuk kanak-kanak di Langkawi.

“Selain klinik berbasikal setiap hari, kami akan berusaha mendapatkan peserta antarabangsa untuk memberi tunjuk ajar cara-cara menunggang sebagai sebahagian tanggungjawab sosial kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage Datuk Malik Mydin kepada Bernama.

Beliau ditemui pada majlis berbuka puasa di Taman Ekuestrian Putrajaya di sini hari ini.

Malik juga mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di atas sokongan berterusan mereka terhadap LIMBC sejak perlumbaan itu mula diperkenalkan pada 2010.

LIMBC 2015 akan melibatkan lima peringkat perlumbaan sekitar pulau berkenaan dan ia diiktiraf sebagai perlumbaan Kelas 2 (XC2) oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Keseluruhan sebanyak US$150,000 (kira-kira RM570,000) hadiah wang tunai ditawarkan kepada pemenang pada kejohanan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA