Cabaran beraya di tengah samudera

Cabaran beraya di tengah samudera

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 23 Julai – Dalam kita berseronok meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan berkumpul bersama kaum keluarga, sahabat handai dan kenalan sambil kunjung-mengunjungi, namun terdapat mereka yang tidak dapat merasakan kemeriahan itu ekoran melaksanakan tugas demi mencari rezeki yang halal.

Kesayuan tidak dapat beraya bersama keluarga ini dirasakan oleh anak-anak tempatan yang berada di atas kapal menjalankan tugas di tengah lautan, bagaimanapun mereka menjadikannya sebagai salah satu cabaran dalam senario kehidupan sepanjang pengalaman menjadi pekerja di luar pantai.

Takbir raya di awal Syawal, hanya mampu didengar melalui corong radio, dengan latar belakang sekeliling suara alunan dan pukulan ombak.

Mereka meluahkan kesayuan dan hiba memang tidak dapat disangkal, linangan air mata, sambil menatap gambar wajah-wajah ahli keluarga, termasuk kedua ibu bapa yang jauh daripada mereka.

Hari raya di tengah lautan menjadi antara cabaran mereka yang bertugas sebagai anak kapal di luar pantai.
Hari raya di tengah lautan menjadi antara cabaran mereka yang bertugas sebagai anak kapal di luar pantai.

Salah seorang daripadanya, yang hanya ingin dikenali sebagai Awang Alif, memberitahu Media Permata, dia sepatutnya pulang berhari raya bersama keluarga, tetapi jadual gilirannya bertukar secara mendadak dan dia tidak berdaya menolaknya, kerana menurutnya itu sudah menjadi kewajipannya untuk melaksanakan tugas di atas kapal.

Sementara itu, seorang lagi rakannya yang hanya ingin dikenali sebagai Awang M, pula memberitahu, memang rasa sedih dan sayu tidak dapat dielakkan, berjauhan dengan isteri dan anak-anak di hari raya, terutama di pagi hari raya, yang lazimnya mereka sekeluarga berkumpul di rumah ibunya.

Tetapi tahun ini, dia terpaksa berada jauh daripada mereka, dan hanya mengambil kesempatan menelefon dan menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya dan mohon ampun dan maaf kepada kedua orang tuanya, isteri dan anak-anak.

“Kami sentiasa berdoa, semoga ahli keluarga berbahagia di hari raya, biarpun tanpa kami bersama mereka, dan mereka juga sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kami yang bertugas di tengah lautan, kadang-kadang terpaksa mengalami angin kencang, ombak yang kuat dan sebagainya,” katanya.

Manakala itu, Awang Afif menceritakan pengalaman pertama beraya di atas kapal dua tahun lalu, yang menurutnya paling menyedihkan kerana buat pertama kalinya bekerja dan tidak bersama dengan keluarga di hari raya, suasana di dalam kapal memang seperti jarak bumi dan langit bezanya, jika dibandingkan dengan berada di rumah di sisi keluarga.

Namun begitu, ujarnya, itu semua adalah cabaran yang harus dihadapi, setelah meletakkan diri sanggup untuk menerima pekerjaan sebagai anak kapal, memang kesedihan terutama dalam sambutan hari-hari kebesaran, tidak dapat dinafikan, tetapi perlu sentiasa meningkatkan kesabaran dan ketabahan.

“Alhamdulillah, biarpun terpaksa berhari raya jauh daripada keluarga, kawan-kawan sekerja yang senasib dengan saya sedikit sebanyak menjadi penghibur, dan pengubat kerinduan yang ada, kami bertakbir bersama, membuat kuih dan berkumpul menikmati jamuan yang serba sederhana, selebihnya, kami terpaksa meneruskan tugas seperti biasanya,” katanya.

Mereka yang bekerja di salah sebuah syarikat tempatan, ada yang sudah bekerja lebih lima tahun dan ada juga yang baru, tugas mereka di kapal selama sebulan dan kadang-kadang lebih daripada itu, tergantung tugasan yang perlu diselesaikan dan pertukaran giliran krew.

ARTIKEL YANG SAMA