Cabaran besar Ola Cabs di India

Cabaran besar Ola Cabs di India

MUMBAI, 14 Jun (AFP) – Pasaran pemanggilan teksi berdasarkan aplikasi yang amat kompetitif di India telah menjadi industri berbilion dolar, namun kontroversi menyelubungi keselamatan, lesen yang ditolak dan pemandu teksi yang membantah, sekali gus mengancam menjejaskan popularitinya.

Syarikat tempatan Ola Cabs dan Uber di Amerika Syarikat semakin popular, didorong oleh peningkatan jumlah profesional yang mahu teksi mudah ditempah, bersih dan berhawa dingin di bandar India yang semakin berkembang pesat dan padat.

“Kami baru sahaja bermula. Kami perlu berada di seluruh pelosok India dan ia adalah sebuah negara yang besar, maka potensinya adalah besar,” beritahu jurucakap Ola Anand Subramanian kepada AFP.

Namun ia bukan perjalanan yang lancar, dengan pihak berkuasa India menolak permohonan Uber dan Ola untuk beroperasi di New Delhi, malah mengkompaun kereta mereka, dan kedua-dua firma menghadapi bantahan marah daripada pemandu teksi tradisional.

Ola cabs telah berkembang daripada firma awal Internet kepada pemimpin industri penempahan teksi telefon pintar di India dalam tempoh lima tahun dan kini bernilai kira-kira AS$2 bilion. Baru-baru ini ia membeli pesaing domestik TaxiForSure dengan harga AS$200 juta dan juga memintas pesaing yang menggunakan aplikasi peranti Meru Cabs di pasaran yang sesak.

ARTIKEL YANG SAMA