Cabaran bola keranjang 3X3 BBA 6 Dis

Cabaran bola keranjang 3X3 BBA 6 Dis

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Dengan matlamat untuk mempromosikan sukan bola keranjang dalam kalangan pemain-pemain muda berbakat tempatan dan mendidik para atlet muda tempatan supaya dapat menghulurkan khidmat bakti kepada masyarakat, 3X3 Brunei Basketball dengan kerjasama Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam (BBA) akan menganjungkan Pertandingan Cabaran Bola Keranjang 3X3 BBA yang akan berlangsung pada 6 Disember di Gelanggang Bola Keranjang Fitness Zone, Kiulap.

Pengasas 3×3 Brunei Basketball, Rachel Lee berkata bahawa pertandingan itu disokong sepenuhnya oleh BBA dan merupakan kejohanan bola keranjang 3×3 di Brunei yang akan menggunakan sepenuhnya peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA).

Beliau berkata bahawa kejohanan yang julung-julung kali diadakan selama sehari itu, diadakan bersempena dengan Hari Antarabangsa Orang-orang Kurang Upaya 2015 di mana ia juga merupakan acara amal bagi Special Olympics Brunei Darussalam.

Menurut Rachel lagi, kejohanan itu bukan sahaja merupakan kejohanan bola keranjang 3×3 yang diiktiraf oleh FIBA, tetapi ia juga merupakan kejohanan di mana komuniti bola keranjang Brunei mengadakan kejohanan amal bola keranjang yang pertama negara.

Pengasas 3x3 Brunei Basketball, Rachel Lee berkata pertandingan itu disokong sepenuhnya oleh BBA dan merupakan kejohanan bola keranjang 3x3 di Brunei yang akan menggunakan sepenuhnya peraturan FIBA.
Pengasas 3×3 Brunei Basketball, Rachel Lee berkata pertandingan itu disokong sepenuhnya oleh BBA dan merupakan kejohanan bola keranjang 3×3 di Brunei yang akan menggunakan sepenuhnya peraturan FIBA.

Beliau menyatakan harapan bahawa kejohanan itu bukan sahaja akan menarik minat pemain-pemain muda tempatan yang berbakat tetapi juga untuk mencungkil bakat baru dalam sukan bola keranjang yang boleh digilap serta diasah untuk menjadi pasukan negara yang akan mewakili negara di kejohanan-kejohanan serantau dan antarabangsa.

Kejohanan sehari itu akan diadakan pada 6 Disember nanti di mana ia dibuka bagi penyertaan kepada 12 buah pasukan bola keranjang lelaki bawah 18 tahun. Kriteria bagi pasukan yang berminat adalah mereka harus mempunyai sekurang-kurangnya dua orang ahli pasukan warganegara Brunei atau penduduk tetap di mana pendaftaran bagi menyertai kejohanan itu dibuka bermula 15 November hingga 22 November.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejohanan itu boleh menghantar e-mel ke 3x3bruneibasketball@gmail.com. Manakala itu, seminar bola keranjang 3×3 pertama akan diadakan pada 1 Disember nanti yang akan disertai para peserta pertandingan bola keranjang 3×3, pengadil, jurulatih dan pemain-pemain bola keranjang yang berminat.

Kejohanan itu akan diadakan pada 6 Disember bermula pukul 8 pagi hingga 9 malam di Gelanggang Bola Keranjang Fitness Zone, Kiulap, di mana kejohanan itu bermatlamat selain daripada mempromosikan sukan berkenaan, diharap akan meningkatkan kesedaran dan mengutip dana bagi atlet-atlet Special Olympics Brunei Darussalam serta untuk menggalakkan lebih banyak pemain muda tempatan untuk mempelajari dan bermain bola keranjang.