Cabaran ekonomi negara

Cabaran ekonomi negara

SEBAGAI bekas penjawat awam, saya telah mengikuti dan memberikan penuh perhatian kepada perkembangan ekonomi semasa, dengan rasa bimbang yang mendalam tentang masa depan negara kita ini serta nasib rakyat dan penduduk serta generasi kita yang akan datang.

Apa yang sering bermain dalam fikiran saya ialah bagaimanakah negara kita akan dapat menangani cabaran-cabaran ekonomi jika harga minyak dunia terus berada di paras yang rendah bagi jangka masa yang lebih panjang daripada yang dijangkakan.

Dalam ingatan saya, sejak dua dekad yang lalu sahaja, Negara Brunei Darussalam telah me-ngalami sekurang-kurangnya dua krisis ekonomi yang sangat mencabar. Krisis kewangan Asia 1997 telah menjejaskan dan melumpuhkan banyak negara di rantau ini. Kesan daripada krisis tersebut berlanjutan sepanjang tahun 1998 dan 1999 dan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara pengeksport minyak juga mengalami kemelesetan akibat harga minyak yang jatuh pada ketika itu.

Krisis kewangan dan ekonomi global pada tahun 2008 juga mengakibatkan kejatuhan harga minyak yang mendadak menyebabkan pengurangan lebihan dagangan selama dua tahun berturut-turut.

Pendapatan daripada minyak dan gas, yang merupakan 90 peratus daripada hasil kerajaan, sekali lagi menerima kesan teruk akibat kebergantungan berterusan ekonomi negara kepada hasil daripada sektor minyak dan gas.

Dengan harga minyak yang terus berada pada paras yang rendah sejak lebih 24 bulan yang lalu, ekonomi negara terus me-ngalami kemelesetan bagi tahun ketiga berturut-turut. Kejatuhan kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) serta hasil pendapatan negara yang berkurangan telah memaksa kerajaan untuk mengawal dan seterusnya mengurangkan perbelanjaan untuk mengimbangi kewangan negara, yang sekali gus telah memberi impak kepada sektor swasta dan menjejaskan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

Oleh yang demikian, saya berpendapat, kerajaan perlu mengambil langkah segera dan meneliti semula struktur fiskal yang sedia ada bagi membolehkan lebih banyak peruntukan yang diperlukan untuk disalurkan kepada projek-projek pembangunan bagi menyuntik semula dana yang amat diperlukan bagi menggerakkan semula ekonomi negara yang terjejas pada ketika ini.

Terdapat keperluan mendesak untuk segera mengurangkan pergantungan berterusan kepada eksport minyak dan gas, dan apa yang lebih mendesak lagi ialah keperluan untuk memperkenalkan reformasi-reformasi yang dapat mengembangkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan produktiviti, menggalakkan perkembangan sektor swasta dan mengurangkan masalah pengangguran.

Jika kita melihat secara keseluruhannya di negara ini, di mana kerajaan telah menyediakan segala keperluan asas, sama ada secara percuma atau dengan memberikan subsidi yang tinggi, sudah setentunyalah sebahagian besar daripada peruntukan tahunan kewangan kerajaan ialah dalam memberikan subsidi-subsidi di negara ini, sama ada yang dihulurkan secara langsung atau tidak langsung. Jika dikumpulkan kesemuanya, perbelanjaan yang disediakan mudah sahaja mencecah berbilion-bilion ringgit dan menambahkan lagi tekanan kepada kewangan kerajaan.

Bagi tempoh jangka masa panjang, sebahagian subsidi yang dihulurkan tersebut akan terbukti tidak dapat berdaya tahan.

Walaupun subsidi tertentu seperti untuk pendidikan dan penjagaan kesihatan adalah diperlukan, lain-lain subsidi pula boleh menjejaskan nilai penggunaan kewangan kerajaan bagi tujuan-tujuan lain yang lebih produktif dan berkeutamaan, sehingga meningkatkan komitmen kewangan kerajaan dan mengurangkan potensi nilai ekonomi yang boleh dihasilkan.

Malahan banyak subsidi yang diberikan lebih memanfaatkan golongan berpendapatan tinggi yang mempunyai kemampuan untuk berbelanja lebih besar, berbanding dengan golongan berpendapatan rendah dan miskin.

Keadaan ini pula menyebabkan ketidakseimbangan yang semakin meningkat dalam pengagihan manfaat subsidi dalam kalangan rakyat dan penduduk negara ini seperti yang dihasratkan dalam mana-mana dasar dan program pemberian subsidi kerajaan.

Golongan berpendapatan tinggi memperoleh lebih manfaat daripada subsidi kerajaan adalah disebabkan kerana mereka lazimnya berkemampuan untuk menggunakan lebih banyak keperluan-keperluan asas seperti minyak kenderaan, elektrik, air dan bahkan beras, berbanding golongan berpendapatan rendah.

Dalam keadaan ekonomi yang terus tidak menentu sehingga kini, kerajaan perlu mengambil langkah tegas dan berani untuk melaksanakan program pembaharuan terhadap pemberian subsidi-subsidi tertentu sebagaimana jua yang dapat kita lihat berlaku di pelbagai negara termasuk negara-negara pengeksport minyak utama.

Tetapi pada masa yang sama, golongan berpendapatan rendah dan miskin perlulah dihulurkan lebih banyak bantuan bagi menyeimbangkan manfaat agar lebih dikecapi oleh golongan ini. Negara perlu membina sebuah ekonomi yang lebih kukuh dan mewujudkan masyarakat yang lebih berdaya tahan, berdaya saing, berdikari dan kurang bergantung kepada subsidi untuk terus berjaya dan bersedia menghadapi sebarang cabaran yang mendatang. Warga Prihatin

ARTIKEL YANG SAMA