Cabaran FAM

Cabaran FAM

MERUJUK kepada tajuk artikel yang disiarkan oleh akhbar Borneo Bulletin pada muka surat belakang bertarikh 28 April 2016 – ‘NO PRIVILEGES FOR FOREIGN TEAMS IN M-LEAGUE’, adalah reaksi yang selalu dan bakal kita dengar ialah tidak perlu pasukan dari negara kita menyertai kejohanan ini.

Namun jika kita memata-matai dengan terperinci, sebenarnya ini adalah cabaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mana-mana pasukan dari negara kita, sama ada kelab ataupun pasukan junior negara (Tabuan Muda U-21) untuk bermula dari liga bawahan dan menaiki tangga secara beransur-ansur untuk ke puncak Liga-M iaitu Liga Super.

Apa yang pasti, sasaran kita setiap tahun adalah untuk mengisi dua tempat teratas yang secara automatik melayakkan kita bermain di Liga Perdana dan seterusnya, Insya-Allah, ke Liga Super.

Dalam pada itu, pihak kelab, Tabuan U-21, mahupun NFABD, dengan menempuh pengalaman ini, akan dengan sendirinya benar-benar mempelajari dan memahami bagaimana penstrukturan FAM serta pentadbiran dan pengurusannya berjalan.

Tambahan lagi dengan penglibatan wakil dari negara kita mulai musim hadapan dalam Liga FAM (Musim 2017/2018), kita berpeluang menyokong pasukan wakil negara bertarung menentang pasukan kelab dari Malaysia demi menilai sejauh mana kekuatan dan kemampuan kita dalam Liga-M yang pernah kita juarai 17 tahun yang lalu.

Buang segala perasaan ego dan tuntut maruah kita yang pernah menjadi juara dengan menyertai semula Liga-M.

Selain merapatkan silaturahim, penyokong pasukan negara akan dengan sendirinya menjana pertumbuhan ekonomi negara kita sambil memastikan yang bola sepak akan sentiasa menjadi sukan nombor satu negara sampai bila-bila. Kita akan tetap ampuh dan mantap sambil pada masa yang sama mempersiapkan menubuhkan pasukan senior kebangsaan bagi menghadapi kejohanan seantero dunia seterusnya seperti AFF Suzuki Cup 2018, 2020 dan 2022 serta kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023. Renungkanlah. Ugan Brunei, BSB

ARTIKEL YANG SAMA