Cabaran getir empat bintang

Cabaran getir empat bintang

LONDON, 6 Julai (AFP) – Novak Djokovic, Roger Federer, Stan Wawrinka dan Andy Murray masih berada di landasan terbaik untuk mara ke separuh akhir Wimbledon 2015 namun mereka perlu berdepan pusingan keempat yang penuh mencabar hari ini.

Enam daripada 10 pemain pilihan terselamat selepas minggu pertama berbeza dengan pilihan ketujuh Milos Raonic dan ke-10, Rafael Nadal tersingkir.

Pemain pilihan kelima, Kei Nishikori menarik diri sebelum pusingan kedua kerana kecederaan betis, manakala pilihan kelapan, David Ferrer menarik diri sebelum pusingan pertama.

Penyandang juara, Djokovic akan berdepan pilihan ke-14 dari Afrika Selatan, Kevin Anderson di pusingan keempat dengan berbekalkan rekod pertemuan 4-1.

Anderson menang dalam pertemuan pertama mereka pada 2008 tetapi sejak dari itu, pemain nombor satu dunia itu sentiasa mencatat kemenangan tanpa melepaskan sebarang set termasuk kemenangan straight set di pusingan kedua Wimbledon empat tahun lalu.

“Saya rasa dia bermain tenis sepanjang hidupnya,” kata Djokovic yang tidak tewas dalam mana-mana set di kejohanan ini dan pernah muncul juara pada 2011.

Federer, 33, cuba untuk mencari kemenangan kejuaraan Wimbledon kali kelapan, hanya tewas satu set sekarang sekarang ini di pusingan ketiga ketika mengalahkan Sam Groth.

Pemain Switzerland itu, beraksi buat kali ke-17 berturut-turut di Wimbledon dan bakal berdepan pilihan ke-20 dari Sepanyol, Roberto Bautista Agut yang dinobatkan sebagai pemain paling menyerlah pada 2014.

Murray, yang muncul juara pada 2013 akan berdepan pemain berusia 36 tahun, Ivo Karlovic, pemain paling tua berjaya mara ke pusingan keempat sejak rakan senegara, Niki Pilic melakukannya pada 1976.

Pemain pilihan ke-23 itu adalah yang paling tua mara ke pusingan keempat dalam mana-mana kejohanan Grand Slam sejak Jimmy Connors melakukannya pada 1991 pada usia 39 tahun di Terbuka Amerika Syarikat.

Pemain pilihan keempat dan juga juara Terbuka Perancis, Wawrinka berdepan pilihan ke-16 dari Belgium, David Goffin yang mara ke pusingan keempat di Wimbledon buat kali pertama, mengulangi pencapaiannya di Terbuka Perancis pada 2012.

Wawrinka mencatat rekod 2-0 bertemu Goffin dengan kedua-duanya dilakukan ketika menyertai kejohanan di Chennai pada 2011 dan 2015.