Cabaran getir menanti PM baru Benin

Cabaran getir menanti PM baru Benin

COTONOU, 19 Jun (Reuter) – Presiden Benin, Thomas Boni Yayi menamakan ahli ekonomi dan bekas ahli perbankan pelaburan Franco-Beninois, Lionel Zinsou sebagai perdana menteri kerajaan baru yang diumumkan semalam, dalam usaha memantapkan lagi ekonomi negara Afrika Barat tersebut.

Zinsou adalah rakan pengurusan di French bank Rothschild & Cie sebelum menyertai firma ekuiti swasta berpangkalan di Paris, PAI Partners pada 2008. Beliau turut berkhidmat sebagai penasihat kepada Boni Yayi.

“Zinsou adalah orang penting dalam dunia perniagaan, akan mendekatkan lagi Benin kepada rakan kongsinya dan akan memberikan Benin banyak peluang-peluang ekonomi,” menurut kenyataan yang disiarkan melalui televisyen milik kerajaan.

Beliau akan mengetuai 28 anggota kerajaan, yang termasuk 17 menteri baru. Kebanyakan jawatan penting kekal tidak berubah dari Kabinet sebelumnya, kecuali pengecualian Menteri Dalam Negeri di mana pegawai kanan serantau Placide Azandé menggantikan ahli perniagaan Simplice Dossou Codjo.

Benin meramalkan pertumbuhan ekonomi tahunan sebanyak 5 peratus pada tahun mendatang, dijana oleh eksport kapas dan pelabuhan Cotonou, yang turut menyediakan khidmat untuk Nigeria. Tetapi para penganalisis berkata rasuah dan prasarana yang teruk menjejaskan pembangunan Benin.

Gabungan pemerintahan Boni Yayi kehilangan kerusi dalam pilihan raya Parlimen pada April lepas, sekali gus melemahkan keupayaannya untuk meneruskan pembaharuan perlembagaan yang menurut pembangkang merupakan sebahagian usaha untuk mengingkari had tempoh bagi mandat pemerintahan, yang kelak membolehkannya bertanding lagi bagi jawatan presiden.