Cabaran getir untuk Indera SC

Cabaran getir untuk Indera SC

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 13 Okt – Indera SC keciciran mata lagi dalam misinya memburu kejuaraan tiga tahun berturut-turut musim ini apabila berjaya diikat MS PDB 1-1 dalam saingan penutup tirai Minggu Kelima Pusingan Kedua Liga Super DST 2015 malam tadi.

Indera SC mendahului perlawanan di Kompleks Sukan Tutong itu pada minit ke-21 menerusi jaringan Awangku Mohamad Haikal bin Pengiran Zaidi, namun jaringan itu merupakan jaringan tunggal separuh masa pertama untuk memberikan Indera SC pendahuluan tipis 1-0.

Jika kebiasaannya Indera SC lebih garang pada separuh masa kedua, berbeza kali ini apabila mereka gagal menambah jaringan sebaliknya MS PDB pula yang berjaya membolosinya untuk jaringan penyamaan 1-1 pada minit ke-76 hasil jaringan PC 5359 Mohd Saiful Rizal bin Haji Awang.

MS PDB berjaya mengikat juara bertahan, Indera SC dengan jaringan 1-1 malam tadi untuk mencuri satu mata.
MS PDB berjaya mengikat juara bertahan, Indera SC dengan jaringan 1-1 malam tadi untuk mencuri satu mata.

Berjaya mencuri satu mata daripada Indera SC itu masih belum mampu membawa MS PDB memperbaiki kedudukannya, hanya kekal di tangga ketujuh dengan 13 mata dari 14 permainan, empat mata di belakang Jerudong FC di tangga keenam yang memiliki satu perlawanan di tangan.

Indera SC pula gagal merampas semula kedudukan kedua daripada Najip i-Team yang baru merampas kedudukan itu daripadanya pada Ahad, 11 Oktober lalu kerana tambahan satu mata hanya menjadikan jumlah matanya kepada 29, satu mata di belakang Najip i-Team. Walau bagaimanapun Indera SC mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Bukan itu saja, kegagalan untuk meraih tiga mata itu turut membuatkan Indera SC semakin jauh daripada pesaing utamanya, MS ABDB yang kini sudah mengumpul 39 mata dari 14 permainan, sepuluh mata jarak dengannya yang baru bermain 13 kali.