Cabaran Keusahawanan IGNITE dibuka

Cabaran Keusahawanan IGNITE dibuka

Oleh Rafidah Jumat & Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Cabaran Keusahawanan IGNITE 2015 kembali lagi di mana pelancarannya diadakan hari ini, semasa sesi taklimat dengan pengamal media dan blogger tempatan, bertempat di Bangunan Teknologi dan Reka Bentuk, Taman Teknologi Anggerek Desa.

Cabaran Keusahawanan IGNITE yang memasuki tahun kelapan merupakan pertandingan pelan perniagaan yang menjurus ke arah pembangunan keusahawanan dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat, teknologi dan penciptaan idea-idea baru yang inovatif bagi penyelesaian masalah di peringkat global.

IGNITE merupakan pertandingan tahunan yang bertujuan untuk mengenal pasti usahawan yang berpotensi dalam bidang ICT dan teknologi, di mana bakat mereka akan diperkembangkan dalam program inkubasi anjuran BEDB dan iCentre.

Taklimat Cabaran Keusahawanan IGNITE disampaikan bersama oleh Pengurus Bahagian Inisiatif Baru dan Inovasi BEDB, Dayang Sabrina binti Shofry serta Pegawai Eksekutifnya, Dayang Izzah binti Jomari dan Pengurus Pusat Inkubasi, Pengiran Zainol Asri bin Razak. Pertandingan tahun ini hanya akan merangkumi dua kategori iaitu Terbuka dan Antarabangsa.

Dari kanan: Pengiran Zainol Asri, Dayang Sabrina dan Dayang Izzah semasa sesi taklimat mengenai Cabaran Keusahawanan IGNITE 2015.
Dari kanan: Pengiran Zainol Asri, Dayang Sabrina dan Dayang Izzah semasa sesi taklimat mengenai Cabaran Keusahawanan IGNITE 2015.

Untuk kategori Terbuka, penyertaan dibukakan kepada orang ramai termasuk kakitangan kerajaan dan swasta, dan juga pelajar-pelajar Pusat Tingkatan Enam, pra universiti, kolej, institusi pengajian tinggi yang merupakan warga atau penduduk tetap Brunei Darussalam.

Sementara warga asing dan pemegang kad pengenalan hijau negara ini yang berusia sekurang-kurangnya 18 tahun adalah dialu-alukan untuk menyertai kategori Antarabangsa.

Menyentuh mengenai hadiah pula, wang tunai $25,000, $15,000 dan $10,000, masing-masing bakal menjadi milik pemenang pertama, kedua dan ketiga manakala hadiah pertama untuk kategori Antarabangsa adalah wang tunai berjumlah $10,000.

BEDB akan mengendalikan beberapa siri bengkel dan sesi mentor dalam minggu akan datang, bermula dengan bengkel ‘Orientasi bagi Ignite dan Idea Pengesahan’ pada 18 hingga 20 September 2015.

Tarikh tutup untuk semua peserta mengemukakan ringkasan eksekutif pertandingan mereka adalah pada 28 September 2015 dan pengumuman peserta yang disenarai pendek akan diumumkan pada 2 Oktober 2015.

ARTIKEL YANG SAMA