Cabaran komuniti menjadikan ASEAN berpaksi rakyat

Cabaran komuniti menjadikan ASEAN berpaksi rakyat

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) – Menjadikan ASEAN sebagai sebuah pertubuhan yang berpaksikan rakyat dan berorientasikan rakyat merupakan antara cabaran paling besar dalam merealisasikan kewujudan Komuniti ASEAN (AC) untuk memberi manfaat kepada lebih 600 juta penduduknya.

Timbalan setiausaha agung bagi hal ehwal komuniti dan korporat ASEAN Dr AKP Mochtan berpendapat usaha itu ibarat menyertai “perlumbaan marathon yang tiada garisan penamat.”

“Ia seperti membina sebuah komuniti …perjalanannya ibarat suatu perlumbaan maraton tanpa garisan penamat, kita perlu terus bergerak, menganggapnya suatu usaha berterusan yang memerlukan kejayaan ketara dari segi penambahbaikan, manakala rakyat pula benar-benar menikmati manfaatnya,” kata beliau.

Ketika berkongsi pandangannya dengan Bernama pada Sidang Kemuncak Editor ASEAN pertama baru-baru ini, beliau berkata antara inisiatif yang boleh diambil bagi menjadikan ASEAN sebuah pertubuhan yang berpaksikan dan berorientasikan rakyat ialah dengan menyemai perasaan ‘kekitaan’ dan semangat kebersamaan dalam jiwa warga ASEAN.

Sehubungan itu, Mochtan berpendapat bahawa belia ASEAN, yang merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan penduduk ASEAN, merupakan aset penting dan pembawa obor ke arah merealisasikan kewujudan entiti AC.

AC, yang ditubuhkan secara rasmi Disember tahun lepas ketika Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, tertegak di atas tiga tonggak kerjasama – Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC).

Mochtan berkata, satu lagi cabaran ialah merapatkan jurang ekonomi dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi mencapai matlamat mulia yang dihasratkan AC, yang menurut beliau, akan terus menjadi satu keutamaan.

Sehubungan itu, kata beliau, 10 negara anggota ASEAN – Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam – dijangka mencatat kemajuan dari segi ekonomi, hasil daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi.

“Apabila kami bercakap tentang merapatkan jurang ekonomi, kami tidak bermaksud untuk cuba menjadikan sesebuah negara, yang mempunyai KDNK Per Kapita paling rendah, melonjak ke kedudukan yang setara dengan negara yang mempunyai KDNK Per Kapita paling tinggi di dunia.

“Kami akan terus memastikan ASEAN mencatat kemajuan mampan, tahap pertumbuhan ekonomi ASEAN meningkat melalui Perdagangan Intra-ASEAN, perjanjian perdagangan bebas (FTA), rakan terdekat di rantau ini, melalui pengharmonian standard dalam perdagangan, pelaburan dan perkhidmatan,” katanya.

Mochtan turut menyentuh tentang isu persaingan daripada kuasa besar, yang menurut beliau, gemar menggunakan pengaruh mereka di rantau ini.

Beliau berkata, ia merupakan cabaran bagi AC dalam memastikan ASEAN sentiasa bersatu dan sepakat dalam menangani persaingan daripada kuasa besar berkenaan.

Mengambil Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sebagai contoh, Mochtan berkata ASEAN perlu tahu cara menggunakan ‘pengaruh’ itu sebagai pelengkap bagi ekonomi ASEAN.

“Persoalannya bukanlah sama ada ASEAN atau TPP. Persoalannya adalah bagaimana kita mempelajari dan melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

Perjanjian perdagangan itu, yang isu sensitifnya mengundang kritikan di Malaysia dan negara lain, ditandatangani pada 4 Februari di New Zealand oleh menteri perdagangan daripada 12 negara TPP, termasuk Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA