Cabaran malim Gunung Kinabalu

Cabaran malim Gunung Kinabalu

KOTA KINABALU, 10 Jun (Bernama) – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun Masidi menyambut baik cadangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) agar dokumentari atau filem pendek diterbitkan mengenai malim Gunung Kinabalu.

Beliau berkata dokumentari itu akan dapat mendidik penonton, khususnya masyarakat di negara ini, tentang tugas dan tanggungjawab serta cabaran dihadapi golongan itu ketika membantu dan menyelamat pendaki.

Katanya, keberanian yang ditunjukkan oleh malim gunung dalam keadaan genting seperti kejadian gempa bumi di Ranau Jumaat lepas boleh dijadikan satu motivasi kepada masyarakat.

“Mereka adalah ikon kepahlawanan dalam era moden ini dan semangat inilah yang harus kita terapkan dalam kalangan orang-orang muda untuk dicontohi.

“Walaupun mereka hanyalah orang kampung biasa, tetapi mereka mempunyai kehebatan tersendiri,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di pejabatnya di sini hari ini.

Dokumentari malim Gunung Kinabalu akan diterbitkan. - Bernama
Dokumentari malim Gunung Kinabalu akan diterbitkan. – Bernama

Masidi berkata dokumentari itu juga mampu menyuntik semangat kepada golongan muda untuk meneladani kepahlawanan malim gunung.

“Dokumentari ini akan mendidik masyarakat bahawa manusia mempunyai pilihan sama ada untuk membuat yang terbaik dalam hidupnya iaitu untuk sedia berkorban atau menjadi penonton dalam keadaan yang genting,” tambahnya.

Masidi berkata bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, sekumpulan malim gunung akan dijemput sebagai tetamu khas bagi menghargai sumbangan mereka dalam misi menyelamat pendaki yang terkandas di Gunung Kinabalu semasa kejadian gempa bumi itu.