Cabaran Motocross Brunei Darussalam

Cabaran Motocross Brunei Darussalam

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Okt – Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-69 Tahun bagi Daerah Tutong mempelawa orang ramai terutama penggemar perlumbaan motosikal lasak supaya hadir beramai-ramai bagi menyaksikan dan mengambil bahagian dalam Cabaran Motocross Brunei Darussalam 2015.

Dalam kenyataannya hari ini, jawatankuasa itu berkata, Cabaran Motocross Brunei Darussalam 2015 akan bermula dengan latihan rasmi pada pukul 3.30 petang 10 Oktober 2015.

Cabaran Motocross Brunei dikelolakan oleh Gerakan Pakatan Pemuda Sukarela, Tutong (GPPS) yang akan diadakan di kawasan tanah lapang Sungai Besar.

Perlumbaan sebenar akan berlangsung pada 11 Oktober 2015 bermula pukul 9 pagi. Barisan pelumba yang akan menyertai perlumbaan itu terdiri daripada para pelumba dari Indonesia, Filipina, Malaysia, New Zealand, Australia dan Negara Brunei Darussalam.

Antara kategori perlumbaan yang akan dipertandingkan pada 11 Oktober termasuk Minicross, Motocross Terbuka Novis, Motocross Veteran Terbuka dan Motocross 2-Lejang Terbuka.

Selain itu ialah acara Motocross Terbuka dan Motocross Terbuka Jemputan, dengan pelumba boleh menyertai lebih daripada satu kategori perlumbaan.

ARTIKEL YANG SAMA