Cabaran Motocross tingkat pelancongan

Cabaran Motocross tingkat pelancongan

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 11 Okt – Pada tahun ini, Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-69 bagi Daerah Tutong Tahun 2015 dengan kerjasama Persatuan Gerakan Pakatan Pemuda Sukarela (GPPS) telah menganjurkan perlumbaan Cabaran Motocross Brunei Darussalam 2015 yang berlangsung di kawasan tanah lapang Sungai Besar, Tutong, hari ini.

Sebanyak 31 peserta dari Negara Brunei Darussalam, Sabah, Sarawak, Indonesia dan Wilayah Persekutuan Labuan menyertai perlumbaan Cabaran Motocross Brunei Darussalam pada tahun ini.

Beberapa kategori dibukakan iaitu perlumbaan Minicross Terbuka, Motocross Terbuka bagi peserta Negara Brunei Darussalam, Veteran Terbuka, 125 Novice Open, 125 Expert dan Motocross Open dalam perlumbaan tahun ini.

Johan bagi Kategori Minicross Terbuka ialah Mohd Hamlennor, johan bagi Motorcross Terbuka bagi peserta Negara Brunei Darussalam ialah Muhammad Ali Hanafiah Lamiah, Johan Veteran Terbuka ialah Joseph Woon, Johan bagi 125 Novice Open ialah Mohammad Ahyar Mohd Yahya, Juara bagi 125 Expert ialah Abdul Rahman bin PP Haji Harith, dan juara bagi Motocross Open ialah Awang Ariandi.

Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama  bergambar ramai bersama para peserta dan pemenang Cabaran Motocross Brunei Darussalam 2015.
Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama bergambar ramai bersama para peserta dan pemenang Cabaran Motocross Brunei Darussalam 2015.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Acara perlumbaan Motocross merupakan salah satu acara tahunan yang memberi peluang kepada golongan masyarakat di negara ini khususnya penggemar sukan lasak dan merupakan satu usaha berterusan untuk menjadikan Daerah Tutong sebagai destinasi sukan bermotor yang diminati di rantau ini.

Tujuan perlumbaan itu diadakan ialah bagi menyemarakkan lagi acara-acara sambutan perayaan Daerah Tutong khususnya yang menjurus ke arah meningkatkan perpaduan dan penglibatan masyarakat dan penduduk di daerah ini melalui acara-acara kesukanan sekali gus meningkatkan lagi industri pelancongan di Daerah Tutong.