Cabaran Muzium-muzium Brunei Ogos depan

Cabaran Muzium-muzium Brunei Ogos depan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Sempena sambutan Jubli Emas tahun ini, Jabatan Muzium-muzium akan mengadakan Cabaran Muzium-muzium Brunei pada tiga kali hari Ahad pada bulan Ogos, iaitu 16, 23 dan 30 Ogos.

Cabaran berasaskan kegiatan ini bermatlamat untuk menggiatkan semula minat terhadap warisan negara kita menerusi beberapa buah bangunan dan tapak bersejarah yang telah menjadi sinonim dengan jabatan berkenaan.

Pada awal perlumbaan, semua pasukan akan berhimpun di satu tempat yang ditentukan di mana mereka akan dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk memulakan perlumbaan bagi tiga cabaran berasingan.

Setiap cabaran akan mengambil tempat di lokasi berasingan yang menempatkan beberapa buah muzium, galeri dan tapak warisan, di mana setiap pasukan yang terdiri daripada empat peserta dijangka menyelesaikan teka teki yang rumit, mengatasi halangan fizikal dan menyertai pencarian, menyelidiki masa lalu negara kita.

Lokasi-lokasi yang berpotensi bagi aktiviti cabaran berkenaan bagi Daerah Brunei dan Muara ialah Muzium Brunei, Muzium Teknologi Melayu, Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, Arkib Negara, Galeri Seni Bandar Seri Begawan, Muzium Maritim Brunei Darussalam, Galeri Sukan Stadium Negara, Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien, Bangunan Sekretariat Negara, Bekas Majlis Negeri, Lombong Arang Batu Muara, Menara Jam Bandar Seri Begawan, Makam Sultan Bolkiah, dan Makam Sultan Sharif Ali.

Di Daerah Tutong termasuk Taman Warisan Tasek Merimbum, Jeti Kuala Tutong, dan Bekas Pejabat Daerah Tutong, manakala itu, di Daerah Temburong meliputi Tapak Perindustrian Getah Labu Estate dan Tugu Peringatan Pekan Bangar.

Sementara itu, di Daerah Belait, potensi lokasinya adalah Bekas Kediaman Rasmi Pegawai Daerah.

Pendaftaran bagi penyertaan perlumbaan ini boleh dibuat secara online dengan melayari laman sesawang www.meseumracebrunei.com.

ARTIKEL YANG SAMA