Cabaran Pancing 8 Feb ini

Cabaran Pancing 8 Feb ini

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Sebagai usaha menjadikan Kampung Sungai Matan sebagai destinasi eko-pelancongan ‘Fishing Village Negara Brunei Darussalam’, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Matan akan mengadakan Cabaran Pancing 2016 pada 8 Februari ini.

Cabaran yang diadakan di sepanjang jambatan Kampung Sungai Matan itu merupakan projek MPK Sungai Matan yang diadakan setiap dua tahun sekali.

Antara tujuannya bukan saja untuk menarik pelancong dan orang ramai, ia juga untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung berkenaan dengan para peserta dan para peminat pancing serta orang ramai di negara ini.

Dijangka melancarkan cabaran itu nanti ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Cabaran pancing itu akan dibahagikan kepada enam kategori iaitu Kategori A di mana para peserta diharuskan mendapatkan ikan mengikut masa yang ditetapkan, Kategori B jumlah ikan terbanyak, Kategori C mendapatkan ikan terbesar, Kategori D menangkap ikan di tengah laut dengan menggunakan pelampung dan perahu jumpong, Kategori E mendapatkan ikan terbanyak dengan menggunakan perahu jumpong, dan Kategori F khas untuk peserta perempuan.

Bayaran untuk menyertai cabaran berkenaan ialah $10 seorang bagi kategori A, C, D dan E, manakala bayaran bagi penyertaan Kategori B secara berkumpulan ialah sebanyak $40 dan bayaran penyertaan orang perseorangan perempuan adalah $5.

Orang ramai dan para kaki pancing yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai dengan Cabaran Pancing 2016 berkenaan bolehlah menghubungi Ketua Kampung Sungai Matan di talian 8893061, Awang Zulkhiri di talian 8895687 dan Awang Razali di talian 8622469.

ARTIKEL YANG SAMA