Cabaran promosikan pelancongan ASEAN

Cabaran promosikan pelancongan ASEAN

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk pandemik global pada masa ini, usaha terus dilaksanakan bagi mempromosi rantau ASEAN sebagai sebuah destinasi pelancongan.

Cabaran seperti pandemik global berkenaan telah memberikan kesan kepada sektor pelancongan ASEAN di mana beberapa buah negara telah mengeluarkan nasihat kepada penduduknya untuk menundakan perjalanan tidak mustahak ke Asia Tenggara, namun rantau ini terus menjadi destinasi pelancongan yang kukuh dan meriah dengan pelbagai tawaran serta tarikan.

Oleh itu, di sebalik cabaran yang dihadapi, negara anggota ASEAN terus menyatakan harapan supaya sasaran pelancongan bagi rantau ini dapat dicapai, jelas Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali pada Perasmian Mesyuarat Khas Melawat ASEAN@50 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan pelancongan di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Usaha itu turut menyaksikan pelancaran Kempen ASEAN@50 di mana ia bukan sahaja ia dihasratkan untuk memperingati ulang tahun ke-50 ASEAN tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran mengenai ASEAN sebagai sebuah destinasi pelancongan, ulasnya lagi ketika mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Di samping itu, kempen berkenaan juga bermatlamat untuk meningkatkan jumlah pelawat antarabangsa ke rantau ini kepada 121 juta pada penghujung 2017, meningkatkan pendapatan pelancongan kepada AS$83 bilion serta meningkatkan kadar purata tempoh penginapan kepada enam hingga tujuh hari dengan menambahkan lawatan pelancong ke lebih daripada dua buah negara di rantau ASEAN.

Awang Wardi bergambar ramai bersama delegasi yang menghadiri mesyuarat khas berkenaan.
Awang Wardi bergambar ramai bersama delegasi yang menghadiri mesyuarat khas berkenaan.

Menurut Awang Wardi lagi, pelancaran logo Kempen Melawat ASEAN@50 semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Republik Rakyat Demokratik Lao juga menandakan satu mercu tanda penting dalam kempen berkenaan di mana para pemimpin ASEAN telah menunjukkan serta memberikan sokongan penuh kepada inisiatif tersebut.

Beliau menambah kejayaan kempen itu hanya akan dapat dicapai dengan kerjasama daripada semua pihak sektor awam mahupun sektor swasta. Dalam hubungan itu, beliau menggalakkan kerjasama yang lebih kukuh dan berterusan daripada semua pihak bagi menjayakan kempen itu dan kejayaan pelbagai usaha pada masa akan dating.

Mesyuarat khas selama empat hari itu disertai oleh delegasi dari negara anggota ASEAN di mana Negara Brunei Darussalam diberikan kehormatan sebagai negara peneraju Kempen Sambutan Emas Melawat ASEAN@50 bagi membincangkan persiapan dan perkembangan terkini program kebangsaan masing-masing, kempen promosi dan kegiatan pemasaran sepanjang 2017 bagi menyokong sambutan ulang tahun ke-50 ASEAN daripada wakil-wakil setiap negara anggota.

Mesyuarat berkenaan merupakan platform penting bagi negara anggota ASEAN untuk membincangkan dan bekerjasama untuk memajukan rantau ini sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

Sementara itu, bagi meningkatkan lagi promosi kempen berkenaan, Brunei akan menyampaikan satu sidang media mengenai kempen Melawat ASEAN@50 sempena International Tourism Bourse Asia yang akan diadakan di Singapura dari 19 hingga 21 Oktober nanti.

Kempen Sambutan Emas Melawat ASEAN@50 mengetengahkan 50 pesta terbaik ASEAN dan 50 pengalaman pelancongan terbaik di mana para pelawat berpeluang menikmati pelbagai pilihan produk pelancongan menerusi pelbagai destinasi, makanan, acara dan pendekatan bersama komuniti setempat.

Inisiatif ini telah dipersetujui oleh menteri-menteri pelancongan ASEAN semasa Forum Pelancongan ASEAN 2016 di Manila, Filipina di mana kesemua 10 buah organisasi pelancongan di rantau ini bersetuju untuk merangka kempen pelancongan serantau yang unik untuk mempromosi jenama ASEAN dalam dua cara sebagai sebuah destinasi pelancongan unik serta meriah yang meraikan sambutan ulang tahunnya ke-50.

ARTIKEL YANG SAMA