Cabaran sektor kewangan

Cabaran sektor kewangan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Ahli-ahli akademik, penggubal dasar, penyelidik dan pengamal sektor perbankan dan kewangan berkumpul untuk membincangkan dan mengeratkan lagi hubungan rangkaian di antara satu sama lain terutama dalam membincangkan mengenai isu serta cabaran utama dalam sektor kewangan dan perbankan semasa Persidangan International Finance and Banking Society (IFABS) Asia Brunei 2016 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Persidangan selama tiga hari bermula hari ini hingga 18 Ogos itu, dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang juga selaku Timbalan Pengerusi Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei, Profesor Madya Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman; Presiden IFABS, Profesor Meryem Duygun, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penceramah, pembentang kertas kerja serta para peserta persidangan.

Profesor Madya Dr Hajah Zohrah dalam kata alu-aluannya menyatakan, penganjuran persidangan yang membawa tema ‘Corporate Finance Decisions in a Changing Global Environment’ itu amat bertepatan sekali yang mana ia bukan sahaja memberi peluang bagi para penggubal dasar, ahli akademik dan pelajar untuk membincangkan mengenai perkembangan serta cabaran dalam sektor kewangan global tetapi ia juga akan mengukuhkan lagi keupayaan penyelidikan Universiti Teknologi Brunei (UTB).

Di samping itu, ia juga dapat meningkatkan kerjasama dan interaksi ahli akademik serta dapat menangani isu-isu kritikal yang dihadapi oleh masyarakat moden yang amat membimbangkan kepada komuniti akademik.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bersama tetamu lain ketika menghadiri perasmian persidangan itu.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bersama tetamu lain ketika menghadiri perasmian persidangan itu.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai dengan para penceramah dan pembentang kertas kerja pada persidangan selama tiga hari itu.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai dengan para penceramah dan pembentang kertas kerja pada persidangan selama tiga hari itu.

Sementara itu, Profesor Meryem Duygun dalam kata alu-aluannya menyatakan, institusi kewangan di Brunei menyaksikan evolusi yang pesat dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, di mana ia boleh disaksikan menerusi jumlah institusi kewangan antarabangsa dan berpengaruh yang terdapat di Brunei, perkembangan sekuriti, transaksi kewangan serta pelbagai perkhidmatan kewangan yang disediakan di Brunei.

Beliau turut menyatakan bahawa Brunei pada masa ini, mempunyai ranking indeks pembangunan manusia yang lebih tinggi daripada negara-negara Asia Tenggara selain Singapura serta juga mempunyai salah satu kadar literasi yang tertinggi di dunia dan salah satu sistem penjagaan kesihatan yang terbaik di Asia.

Oleh itu, beliau berharap dengan penganjuran persidangan itu, para peserta akan berpeluang mendapat ilmu pengetahuan untuk lebih memahami trend-trend baru yang signifikan dalam aktiviti kewangan korporat serta bagaimana ia adalah berbeza dalam pelbagai keadaan.

Manakala itu, Pengerusi Bersama Persidangan IFABS Asia Brunei 2016, University of Hull, Dr Mark Rhodes dalam kata alu-aluannya berkata bahawa cabaran dalam dunia perbankan dan kewangan global terus berkembang dengan pembangunan integrasi kewangan dan pusat ekonomi di mana fungsi dan risiko perbankan dalam suasana ekonomi yang mencabar perlu difahami dengan lebih mendalam dari segi urus tadbir dan kewangan korporat yang baik.

Awang Yusof menyampaikan ucaptama di persidangan itu.
Awang Yusof menyampaikan ucaptama di persidangan itu.
Antara mereka yang menyertai persidangan selama tiga hari itu.
Antara mereka yang menyertai persidangan selama tiga hari itu.

Dalam hubungan itu, beliau menekankan adalah amat penting bagi setiap ahli akademik, penggubal dasar dan pemain industri untuk belajar daripada satu sama yang lain dalam meningkatkan kefahaman mereka serta sama-sama menangani cabaran yang mendatang.

Persidangan anjuran bersama UTB dan AMBD dengan kerjasama University of Oxford, University of Nottingham, University of Sheffield dan University of Hull itu menyaksikan pembentangan kertas-kertas kerja dan ucaptama daripada pelbagai penceramah dan pensyarah termasuk Pengarah Urusan AMBD, Awang Yusof bin Haji Abdul Rahman yang menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Islamic Finance-Steps for a better tomorrow’, Profesor dan Pengerusi Kewangan di University of Oklahoma, Profesor William Megginson dengan ucaptama bertajuk ‘The New Global Privatization Wave’, Dekan Asian Development Bank Institute, Profesor Naoyuki Yoshino dengan ucaptama bertajuk ‘SME Finance and Infrastructure Finance for Asian Economic Development’ dan Ketua Pegawai Eksekutif Bombay Stock Exchange, Ashishkumar Chauhan dengan ucaptama bertajuk ‘Changing Contours of Global Capital Markets’.

Selain itu, lebih 50 kertas kerja juga akan dibentangkan sepanjang persidangan yang bermatlamat untuk menyediakan forum bagi ahli akademik, penggubal dasar dan pelajar penyelidikan untuk membincangkan serta menganalisis cabaran-cabaran perbankan dan kewangan utama yang dihadapi pada masa ini.

ARTIKEL YANG SAMA