Cabaran Suzuki kini dibuka

Cabaran Suzuki kini dibuka

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Dis – Para penggemar dan penggiat sukan lumba kereta pacuan empat roda, kini berpeluang untuk menonjolkan bakat mereka melalui acara Perlumbaan Piala Cabaran Suzuki ke-4, yang akan berlangsung pada 2 dan 3 April 2016 di kawasan tanah lapang, Lebuhraya Muara-Tutong, Kampung Salambigar.

Perlumbaan anjuran bersama Boustead Sdn Bhd dan Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei (PKTLB) itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu standard, berganti-ganti (relay) berpasukan dan modified terbuka.

Ia dijangka bukan sahaja disertai oleh pelumba-pelumba dari Brunei, tetapi juga dari negara jiran.

Pengerusi Perlumbaan Piala Cabaran Suzuki 2016, Haji Ahmad bin Haji Abdul Razak semasa sidang media yang diadakan di Dewan Pameran Suzuki, Boustead Sdn Bhd, Beribi, hari ini, menyatakan bahawa terdapat pelumba-pelumba dari Kuching dan Labuan yang menunjukkan minat untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan itu.

Dengan penyertaan pelumba dari negara jiran, ulasnya, bukan sahaja akan memeriahkan lagi acara perlumbaan itu, tetapi juga menaikkan nama perlumbaan itu kepada para pelumba dari dalam dan luar negara.

Pegawai dan kakitangan Boustead bersama ahli-ahli PKTLB bergambar-ramai dengan Piala Cabaran Suzuki.
Pegawai dan kakitangan Boustead bersama ahli-ahli PKTLB bergambar-ramai dengan Piala Cabaran Suzuki.
Piala Cabaran Suzuki kini kembali bagi tahun ke-4.
Piala Cabaran Suzuki kini kembali bagi tahun ke-4.

Perlumbaan itu bertujuan untuk mempromosikan kereta keluaran Suzuki terutamanya kereta jenis pacuan empat roda seperti Suzuki Jimmy, Suzuki Grand Vitara dan keluaran jenama Suzuki lainnya.

Haji Ahmad menjelaskan lagi bahawa perlumbaan itu bermatlamat untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang sedia ada dalam kalangan penggemar dan peminat pacuan empat roda di negara ini, terutama peminat yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda jenama Suzuki.

Selain itu, ia juga mendedahkan kepada penggemar pacuan empat roda dan orang ramai mengenai pentingnya keselamatan dan disiplin ketika mengendalikan kenderaan pacuan empat roda dalam suasana tahan lasak dan mencabar serta memupuk minat dan menggalakkan orang ramai untuk meminati dan menyertai kegiatan kereta tahan lasak.

Ia juga dihasratkan menyokong usaha Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan untuk menarik minat pelancong datang berkunjung ke negara ini, di samping memperluaskan lagi kegiatan sukan permotoran di bawah Jabatan Belia dan Sukan.

Beliau berkata perlumbaan yang akan diadakan selama dua hari bermula 2 hingga 3 April 2016 dan dijadualkan bermula pada pukul 8 pagi itu dibukakan kepada penggemar pacuan empat roda yang memiliki kereta tahan lasak berjenama Suzuki.

Bagi kategori standard, bayaran adalah sebanyak $30 dengan hadiah bagi juara kategori itu ialah piala dan wang tunai $800, bayaran bagi kategori modified terbuka ialah $60 dan juara kategori ini akan membawa pulang hadiah piala, piala cabaran dan wang tunai bernilai $2,000, manakala itu, bagi kategori berganti-ganti berpasukan, bayaran ialah sebanyak $120 dan juara akan membawa pulang hadiah piala serta wang tunai bernilai $1,800.

Borang penyertaan boleh diperoleh daripada Boustead Sdn Bhd dan PKTLB, dan tarikh terakhir bagi menghantar borang-borang penyertaan tersebut ialah pada 12 Mac 2016 tidak lewat jam 5 petang.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perlumbaan itu bolehlah menghubungi ahli-ahli jawatankuasa perlumbaan daripada PKTLB iaitu Haji Jamahat bin Haji Liman di talian +673-8712800 atau Awang Arman bin Haji Ahad di talian +673-8118218 dan dari Boustead Sdn Bhd, Dayang Julia Farhanah binti Haji Mohd Yussof di talian +673-7142910 atau Pengiran Hajah Maisurah Fauziyana binti Pengiran Haji Ahmad di talian +673-8877911.

ARTIKEL YANG SAMA