Cabul: Meringkuk di penjara dan sebatan

Cabul: Meringkuk di penjara dan sebatan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Seorang pekerja buruh di jabatan kerajaan dijatuhi setahun empat bulan penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, kerana mencabul kehormatan rakan kepada anaknya.

Suparman bin Haji Madun, 36, dituduh melakukan perbuatan ‘tidak senonoh’ terhadap seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di kawasan sebuah sekolah sekitar jam 4 petang pada 16 November 2016.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli berkata, apa yang dilakukan tertuduh itu perlu diberi hukuman penjara sebagai peringatan kepada orang lain untuk tidak melakukan kesalahan yang sama dan memerintahkan hukuman tertuduh bermula pada tarikh dia mengaku salah pada 19 November.

Tertuduh yang mempunyai lima orang anak dan bakal menimang anak keenam bulan depan didakwa pergi ke sekolah tersebut kira-kira jam 2 petang untuk mencari anak perempuannya yang tidak pulang ke rumah.

Dia terserempak dengan salah seorang rakan anaknya iaitu mangsa dan bertanya sama ada mangsa mengetahui keberadaan anaknya yang mana mangsa menjawab “tidak tahu”.

pg06_mahkamah-logo

Tertuduh kemudian memberitahu mangsa untuk tidak merasa takut dan memberitahunya yang dia suka melihat matanya.

Melihat mangsa yang hanya berdiam diri, tertuduh mengajaknya untuk pergi ke rumah salah seorang lagi rakan anaknya namun pelawaan itu ditolak oleh mangsa.

Tertuduh mendekati mangsa dan mula melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap mangsa yang mana mangsa kemudian berjaya melarikan diri dan bersembunyi di sebalik pintu kelas.

Lima pelajar kebetulan berada di kelas itu.

Tertuduh kemudian mencari mangsa dan bertanya kepada pelajar tersebut namun pelajar-pelajar itu hanya mendiamkan diri.

Tertuduh yang kemudian menyedari mangsa bersembunyi di sebalik pintu memintanya untuk bersalam dengannya tetapi mangsa enggan.

Tertuduh terus beredar dan meminta maaf.

Mangsa terus berada di dalam kelas itu sehingga ayahnya datang untuk mengambilnya pada jam 4 petang.

Mangsa memberitahu ayahnya mengenai kejadian yang berlaku dan laporan polis di buat keesokan harinya.

Tertuduh diberkas pada 18 November kira-kira jam 5:20 petang.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Haji Kamaluddin.

ARTIKEL YANG SAMA