Cabul: Tertuduh ketahui nasib 24 Nov ini

Cabul: Tertuduh ketahui nasib 24 Nov ini

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Nov – Seorang pekerja buruh di jabatan kerajaan yang berdepan dakwaan mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun akan mengetahui nasibnya pada 24 November ini.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menetapkan tarikh itu buat Suparman bin Haji Madun, 36, yang mengaku bersalah pada Sabtu lalu di Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan perbuatan ‘tidak senonoh’ itu terhadap mangsa di sebuah sekolah sekitar jam 4 petang pada 16 November 2016.

Fakta kes menyebut, tertuduh yang mempunyai lima orang anak itu pergi ke sekolah tersebut kira-kira jam 2 petang untuk mencari anak perempuannya yang tidak pulang ke rumah.

Dia kemudian terserempak dengan salah seorang rakan anaknya iaitu mangsa dan bertanya sama ada mangsa mengetahui keberadaan anaknya.

Mangsa menjawab “Tidak tahu”.

pg06_mahkamah-logo

Tertuduh kemudian memberitahu mangsa untuk tidak merasa takut dan memberitahunya yang dia suka melihat matanya.

Tertuduh yang melihat mangsa mendiamkan diri kemudian mengajaknya untuk pergi ke rumah salah seorang lagi rakan anaknya namun pelawaan itu ditolak oleh mangsa.

Tertuduh mendekati mangsa dan mula melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap mangsa yang mana mangsa kemudian berjaya melarikan diri dan bersembunyi di sebalik pintu kelas.

Lima pelajar kebetulan berada di kelas itu.

Tertuduh kemudian mencari mangsa dan bertanya kepada pelajar tersebut namun pelajar-pelajar itu hanya mendiamkan diri.

Tertuduh yang kemudian menyedari mangsa bersembunyi di sebalik pintu memintanya untuk bersalam dengannya tetapi mangsa enggan.

Tertuduh terus beredar dan meminta maaf.

Mangsa terus berada di dalam kelas itu sehingga ayahnya datang untuk mengambilnya pada jam 4 petang.

Mangsa memberitahu ayahnya mengenai kejadian yang berlaku, dan laporan polis dibuat keesokan harinya.

Siasatan yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak membawa kepada tangkapan tertuduh pada 18 November yang mana tertuduh mengaku melakukan perbuatan itu kerana tertarik pada mangsa dan juga kerana keinginan seksualnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Haji Kamaluddin mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22) yang membawa penjara sehingga lima tahun dan juga sebatan.

ARTIKEL YANG SAMA