Cabutan bertuah pertama KBSentral 30 Ogos ini

Cabutan bertuah pertama KBSentral 30 Ogos ini

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 25 Ogos – Pusat Membeli-Belah KBSentral akan mengadakan cabutan bertuah pertamanya pada 30 Ogos ini di atrium pusat membeli belah berkenaan di Jalan Maharaja Setia, Kampung Mumong A, di sini.

Pengurus Am Pusat Membeli-Belah KBSentral, Dayang Abby Lim, semasa sidang media, hari ini, berkata cabutan bertuah pertama yang dianjurkan itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pengunjung, yang mana daripada 10,000 kupon yang dicetak, 8,000 telah dikira.

Menurut beliau lagi, pengunjung masih boleh menyertai cabutan berkenaan dengan membeli-belah atau menikmati hidangan di salah sebuah kedai di pusat berkenaan sehingga 12 tengah hari, pada 30 Ogos.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan mereka yang menyertai cabutan berkenaan supaya membawa kupon-kupon asal serta kad pengenalan pada hari itu nanti, dan jika tidak dapat hadir, wakil mereka mestilah membawa kupon berkenaan serta kad pengenalan wakil tersebut serta salinan kad pengenalan orang yang mereka wakili itu.

Jika mereka tidak menepati mana-mana syarat yang sudah dimestikan, peserta yang empunya kupon itu dan wakilnya sendiri adalah dikira tidak layak.

Dayang Abby Lim (tengah) semasa ditemui pada sidang media mengenai cabutan bertuah yang bakal diadakan pada 30 Ogos ini nanti.
Dayang Abby Lim (tengah) semasa ditemui pada sidang media mengenai cabutan bertuah yang bakal diadakan pada 30 Ogos ini nanti.

Menyentuh mengenai hadiah cabutan berkenaan, sebanyak 22 hadiah telah disediakan tajaan Bank Baiduri, termasuk iPhone 6 untuk pemenang pertama, komputer Acer tempat kedua, TV LED 39 inci tempat ketiga, mesin pencuci jenama Philips tempat keempat dan peti sejuk dua pintu jenama Philip sebagai hadiah kelima.

Selain itu daripada, beliau memberitahu bahawa mereka turut mengadakan aktiviti-aktiviti selaras dengan objektif KBSentral untuk mengadakan acara bertema kekeluargaan, iaitu Minggu Emoji bermula 3 hingga 6 September dan ‘Bento Lunchbox Contest’ pada 12 dan 13 September ini.

“Minggu Emoji merupakan aktiviti di mana pengunjung yang mengikutinya nanti boleh mengambil gambar dengan ‘emoticon’ dari telefon bimbit mereka di pondok tempat mengambil gambar yang akan kami sediakan.

“Satu permainan yang boleh orang ramai ikuti juga adalah ‘Guess The Movie From Emoticon’ di mana peserta harus meneka nama filem daripada ‘emoticon’ yang dipaparkan di skrin.

“Manakala itu, ‘Bento lunchbox Contest’ adalah aktiviti yang boleh disertai bersama oleh kanak-kanak dan orang dewasa di mana mereka perlu membentuk makanan dengan hiasan seperti Hello Kitty atau Pokemon atau mana-mana hiasan yang cantik untuk memenangi hadiah,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai sebarang aktiviti dan cabutan bertuah itu bolehlah menghubungi talian 3339889 atau e-mel ke alamat kbsentralmarketing@gmail.com atau mengikuti akaun Facebook KBSentral (KB Sentral Shopping Centre).

ARTIKEL YANG SAMA