Cacat tidak halang tonjol bakat

Cacat tidak halang tonjol bakat

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) – Masih ingatkah lagi anda tentang iklan hari raya di kaca televisyen lakonan seorang kanak-kanak cacat penglihatan yang berjaya meruntun jiwa jutaan rakyat Malaysia empat tahun lalu?

Iklan berjudul ‘The Journey’ terbitan syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) itu mengisahkan dua anak yatim piatu istimewa iaitu Fizi dan Ahmad yang terpaksa menempuh pelbagai rintangan untuk pulang ke kampung menziarahi pusara ibu Ahmad pada Hari Raya Aidilfitri. Mungkin ramai yang tidak tahu, watak Fizi yang cacat penglihatan sebenarnya dilakonkan seorang kanak-kanak cilik yang benar-benar mempunyai kecacatan itu.

Walaupun tidak dapat melihat, bakat lakonan Amirul Hafizi Muhamad Yusoff, 12, nyata berjaya meninggalkan impak mendalam kepada jutaan penonton sekali gus membuktikan golongan sepertinya juga memiliki bakat istimewa dan mampu beraksi di hadapan kamera dengan baik seperti golongan celik.

“Peluang untuk berlakon dalam iklan itu satu pengalaman manis yang tidak dapat saya lupakan dan saya paling suka babak ketika menumpang lori untuk pulang ke kampung…itu kali pertama saya naik lori,” katanya kepada Bernama selepas majlis ‘Back To School With MAB 2016’ di sini hari ini.

Timbalan Presiden Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Datuk Dr Veera Ramani (tujuh, belakang) bergambar bersama kanak-kanak OKU yang menerima bantuan beg sekolah daripada MAB Persatuan sempena program ‘Back to School with MAB 2016’ kelmarin. – Bernama
Timbalan Presiden Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Datuk Dr Veera Ramani (tujuh, belakang) bergambar bersama kanak-kanak OKU yang menerima bantuan beg sekolah daripada MAB Persatuan sempena program ‘Back to School with MAB 2016’ kelmarin. – Bernama

Kata Amirul Hafizi, minat untuk berlakon timbul semenjak diberi kesempatan beraksi di hadapan kamera dan beliau menyimpan hasrat untuk terus mengembangkan minatnya itu jika berpeluang berbuat demikian.

Beliau merupakan antara kira-kira 60 pelajar Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu, Kuala Lumpur dan Sekolah Kebangsaan Sungai Kantan, Kajang yang menerima sumbangan barangan keperluan sekolah daripada Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).

Seorang lagi kanak-kanak cacat penglihatan, Siti Nur Suhaila Jamil, 10, berkata beliau sangat gembira menerima pemberian itu dan berasa begitu bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan tahun ini.

“Saya diberitahu dapat beg sekolah warna merah dan alat tulis baharu dan saya tak sabar nak memakainya,” katanya dengan nada teruja.

Pada majlis itu, Siti turut mengadakan persembahan nyanyian untuk hadirin.

Beliau yang kerap menyertai pertandingan nyanyian peringkat sekolah turut berkongsi impian untuk menjadi penyanyi seperti bintang tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.