Cacic: Kami lebih menguasai perlawanan

Cacic: Kami lebih menguasai perlawanan

LENS, 26 Jun (AFP) – Jurulatih Croatia, Ante Cacic mendakwa bahawa sukan bola sepak “tidak adil” apabila pasukannya tewas 1-0 di tangan Portugal pada penentuan ke suku akhir awal pagi tadi.

Portugal mara ke suku akhir bertemu Poland apabila Ricardo Quaresma meledak gol kemenangan tiga minit sebelum tamat masa tambahan pada perlawanan yang dikuasai sepenuhnya oleh Croatia.

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo yang tidak dapat mempamerkan kemampuan sebenarnya sepanjang permainan, menggunakan sebaik-baiknya peluang hasil serangan balas pantas pada minit ke-117 untuk meledak jaringan, namun percubaannya ditampan penjaga gol Danijel Subasic sebelum Quaresma melakukan tindakan susulan.

Cacic bagaimanapun menolak dakwaan yang mengatakan pasukannya tertekan apabila diletakkan sebagai pasukan pilihan selepas menjuarai Kumpulan D yang menyaksikan juara bertahan, Sepanyol tumpas di tangan mereka.

“Kami tidak boleh katakan yang bola sepak itu adil, kami mempunyai deretan peluang dan menguasai permainan, jadi ia bukan kerana masalah psikologi,” kata Cacic.

Pengendali Croatia (kanan) ketika mengendalikan pasukannya dalam perlawanan tersebut. – AFP
Pengendali Croatia (kanan) ketika mengendalikan pasukannya dalam perlawanan tersebut. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

“Pasukan yang lebih baik tidak selalunya menang dan itu yang terjadi malam ini.”

Portugal akan berdepan Poland pada aksi suku akhir di Marseille dan Cacic mengakui pasukannya terlepas peluang keemasan untuk pergi jauh dalam kejohanan kali ini.

“Sudah tentu saya amat sedih, kami mempunyai peluang yang cerah, undian cukup sempurna buat kami,” katanya.

“Kami tahu laluan lebih terbuka apabila akan bertemu Poland, tetapi itulah bola sepak. Portugal pasukan yang kuat, saya ucapkan tahniah kepada pemain-pemain saya di atas usaha mereka.

“Saya pasti Portugal pasukan yang berkualiti tinggi dengan beberapa pemain berpengalaman, dan saya rasa Portugal kini adalah pasukan pilihan (untuk ke final).”