Cadang anjur Earth Hour setiap bulan

Cadang anjur Earth Hour setiap bulan

MASIH ingat pada tarikh 24 Mei 2007 dimana Hari Tenaga peringkat kebangsaan dilancarkan dan diperingati seluruh negara? Sehingga terbentuknya satu barisan kereta yang amat panjang dan jauh terbentuk untuk membeli minyak setangki penuh sehari malah dua hari sebelum tarikh tersebut setiap tahun untuk mengelakkan harga minyak mahal tanpa subsidi. Dan sejak kebelakangan ini, atau lebih tepat lagi lima tahun berturut-turut, Hari Tenaga dan peristiwa tadi seolah-olah dilupakan impak, keistimewaan dan keberkesanannya.

Di manakah komitmen dan keseriusan kita terhadap Sambutan Hari Tenaga dan janjinya untuk memberi kesedaran dan kepekaan kepada rakyat dan penduduk terhadap betapa semakin berkurangnya sumber bahan api kebelakangan ini? Dan di manakah kesedaran pengguna terhadap sikap berhemah dalam menggunakan sumber bahan api dan bahan asasi seperti minyak petrol, minyak masak, air dan api elektrik?

Memang benar, langkah kerajaan melalui Perkhidmatan Prabayar Elektrik beransur-ansur menunjukkan keberkesanannya namun masih terdapat pembaziran sumber berkenaan di jabatan-jabatan kerajaan yang masih mengamalkan pemakaian lampu pada waktu siang. Acara tahunan Earth Hour yang dilaksanakan setiap Sabtu terakhir pada bulan Mac setiap tahun pada hakikatnya juga gagal menghasilkan impak yang dikehendaki di mana berpuluh ribu buah rumah dan bangunan masih memasang tenaga elektrik dan tidak menghentikan pekerjaan atau perniagaan mereka tepat jam 8:30 malam pada hari tersebut.

Saya sendiri merasa hairan bahawa para penganjur Earth Hour tidak menjelaskan berapa jumlah tenaga elektrik yang dijimatkan sewaktu Earth Hour yang dilaksanakan selama sejam pada tahun 2014, 2015 dan 2016. Adakah ianya tidak perlu diketahui atau para penganjur maklum dan sedar bahawa acara Earth Hour tidak menampakkan kemajuan yang diharap-harapkan atau sekadar ‘feel good event’?

Kepada para pembaca yang dihormati, saya anjurkan supaya Earth Hour seboleh-bolehnya dipandang serius dan dilaksanakan pada Sabtu terakhir setiap bulan selama sejam, kalaupun tidak sejam setiap minggu sewaktu pemakaian tenaga api elektrik dijangka mencapai maksimumnya.

Dan diharapkan kepada agensi-agensi kerajaan yang berkenaan supaya membuat pertimbangan untuk mengurangkan subsidi kepada bahan api dalam memikirkan ekonomi negara yang dijangka belum pulih hujung tahun ini. Dan kepada pihak pengguna dan umum, tolong kenang nasib anak cucu kita yang bakal menghuni negara kita yang berdaulat lagi merdeka ini setelah kita hilang lenyap ditelan bumi suatu hari nanti, dengan menambah komitmen kepada penjimatan penggunaan tenaga dan sumber bahan api. Renungkanlah dan buat tindakan yang wajar lagi bijaksana.Pemerhati prihatin, Bunut

ARTIKEL YANG SAMA