Cadang bangun persempadanan Kalimantan

Cadang bangun persempadanan Kalimantan

KOTA KINABALU, 14 Okt – Kerajaan Malaysia dan Indonesia dicadang membangunkan secara bersama persempadanan antara Kalimantan dengan Sabah dan Sarawak yang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan pendidikan.

Menyuarakan cadangan itu pada sesi Dialog Perbatasan di sini semalam, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zakaria Wahab berkata, inisiatif itu mampu menjadi platform komprehensif dalam menyelesaikan isu dan masalah membabitkan persempadanan kedua-dua negara.

Beliau percaya pendekatan itu dapat menjalin kerjasama antara Malaysia-Indonesia dalam melahirkan suasana harmonis dalam masyarakat yang tinggal berhampiran sempadan.

Mengambil contoh pembangunan di persempadanan Malaysia dan Thailand yang diusahakan kedua-dua negara, Zakaria berkata pembangunan itu membuahkan hasil apabila hampir tiada masalah persempadanan timbul antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua pihak membangunkan sepanjang sempadan ini dengan kemajuan dari segi pertanian dan ekonomi,” katanya ketika menjadi salah seorang daripada panel dalam sesi dialog itu, semalam.

Zakaria berkata Malaysia-Indonesia harus melihat potensi mewujudkan zon perdagangan bebas di sepanjang kira-kira 2,019 kilometer sempadan Kalimantan dengan Sabah dan Sarawak dalam usaha merancakkan ekonomi penduduk setempat.

“Kita lihat di Padang Besar, Bukit Kayu Hitam dan Rantau Panjang, setiap pintu sempadan Malaysia-Thailand itu ada zon perdagangan bebas yang mana semua pihak bebas keluar masuk tanpa perlu menggunakan pasport untuk berdagang dan membeli barang keperluan dari negara seberang,” jelasnya.

Bagi mengatasi berlaku penjualan barangan kawalan bersubsidi Malaysia ke Indonesia, Zakaria mencadangkan Malaysia mengenakan cukai ke atas barang itu kerana lazimnya barangan bersubsidi hanya untuk kegunaan rakyat negara ini.

Di samping itu, beliau juga mencadangkan zon perindustrian diwujudkan untuk memudahkan pergerakan penduduk setempat ke tempat kerja yang melepasi sempadan dan setelah selesai bertugas pulang ke negara masing-masing seperti berlaku di Johor Bahru dan Singapura.

Dari segi pendidikan pula, kerajaan Malaysia dan Indonesia dicadangkan untuk membina sekolah di persempadanan berkenaan bagi membolehkan penduduk setempat mendapat pendidikan secara formal.

Beliau turut menyarankan agar kemudahan kesihatan dan perubatan diberikan di sempadan Kalimantan, yang mana doktor dari Malaysia-Indonesia boleh memberi rawatan kepada pesakit tanpa mengira kewarganegaraan.

Dialog Perbatasan merupakan inisiatif anjuran Ikatan SetiakawanWartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) disertai lebih 40 wartawan dari kedua-dua negara bertujuan meningkatkan persefahaman juga hubungan dua hala.

Antara yang turut menjadi panel pada sesi dialog itu ialah Presiden Iswami Indonesia yang juga Direktur Utama Berita ANTARA Saiful Hadi. – Bernama