Cadang dasar, garis panduan rumah mampu milik baru

Cadang dasar, garis panduan rumah mampu milik baru

KUCHING, 15 Dis (Bernama) – Kementerian Perumahan Sarawak telah mencadangkan kepada Lembaga Perancangan Negeri (SPA) berhubung pelaksanaan dasar dan garis panduan rumah mampu milik baru yang akan melibatkan penambahbaikan utama kepada pendekatan kerajaan negeri berhubung penyediaan perumahan yang mampu dimiliki.

Menterinya, Datuk Amar Abdul Rahman Johari Tun Abang Openg berkata, cadangan itu antara lain meliputi, perubahan yang lebih baik kepada reka bentuk, perancangan keperluan, dan harga jualan maksimum rumah kos rendah dan unit-unit rumah mampu milik.

Beliau berkata objektif utama dasar baharu itu adalah untuk meningkatkan bekalan perumahan mampu milik melalui penyertaan sektor swasta, dan untuk mengawal harga rumah untuk rumah kos sederhana rendah supaya kategori ini mampu dimiliki kumpulan sasaran.

“Ia juga bertujuan untuk meningkatkan standard reka bentuk rumah, dan memanfaatkan peluang perumahan baharu dan menangani susunan keadaan bandar yang berselerak melalui kepadatan di pusat-pusat bandar Sarawak,” katanya dalam ucapan penggulungan beliau pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Datuk Amar Abdul Rahman Johari Tun Abang Openg.
Datuk Amar Abdul Rahman Johari Tun Abang Openg.

Antara cadangan itu adalah untuk membahagikan unit rumah yang akan dibina di bawah kuota 30 peratus yang dicadangkan kepada dua unit harga kategori, sederhana rendah dan sederhana, dan bukan satu kategori kos rendah sahaja, kerana ini akan mewujudkan perumahan yang mampu dimiliki oleh mereka yang pendapatan isi rumah kasar bulanan di bawah RM5,000 tetapi di atas RM3,000, dan juga orang-orang di atas RM5,000 tetapi di bawah RM7,000.

Sementara itu, Abang Johari berkata kementerian itu sedang menjalankan Kajian Pembangunan Perumahan negeri yang akan menghasilkan Pelan Induk untuk pembangunan sektor perumahan negeri dalam tempoh jangka masa panjang sehingga tahun 2035.

“Kajian itu antara lain bagi meramalkan bekalan jangka panjang rumah yang perlu disediakan di bandar-bandar utama dan bandar-bandar di seluruh Sarawak, dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti pertumbuhan ekonomi, penghijrahan bandar, dan pertambahan penduduk. Kajian ini dijangka siap pada akhir tahun ini,” katanya.