Cadang gaji penjawat awam ikut waktu jam bekerja

Cadang gaji penjawat awam ikut waktu jam bekerja

SEMUA penjawat jawatan di Perkhidmatan Awam maklum, melalui Buku Biru, yang masa bekerja setiap hari bekerja ialah dari jam 7:45 pagi hingga 12:15 tengah hari dan dari 1:30 petang hingga 4:30 petang.

Namun realitinya, ramai daripada mereka tidak mematuhi tempoh masa bekerja ini atas sebab-sebab tertentu dan tersendiri, tetapi masih dibayar penuh gaji bulanan mereka.

Isu ini menerbitkan rungutan dan rasa tidak puas hati kepada sebilangan daripada mereka yang taat mematuhi waktu bekerja ini atas sebab ianya adalah amanah Allah S.W.T untuk mematuhi waktu bertugas di samping meraih keberkatan daripada titik peluh mereka setiap bulan.

Saya mahu mengutarakan cadangan yang mungkin boleh mencetus anjakan paradigma, inovatif dan ‘revolutionary’ namun pada pandangan saya, sudah ‘overdue’ demi untuk menjurus ekonomi negara kepada lebih terurus, lebih berhemat dan lebih produktif dan mewujudkan warga kerja yang lebih komited dan bersemangat (passionate) menjalankan tugas.

Kalau lazimnya semua penjawat jawatan dalam Perkhidmatan Awam dibayar gaji secara bulanan, apa kata kalau mereka dibayar mengikut jam mereka datang bekerja.

Contohnya petugas di Bahagian V yang biasanya dibayar sekitar $600 sebulan dalam 20 hari bekerja sebulan (140 jam) mengikut skim baru ini akan dibayar $4.30 sejam. Sementara itu, petugas di Bahagian II yang biasanya dibayar paling rendah dalam $2,630 sebulan (20 hari bekerja – 175 jam) mengikut skim baru ini akan dibayar $15.10 sejam. Bayaran bonus tahunan masih dikekalkan dan sampai masanya mungkin diwujudkan bonus dua kali dalam setahun.

Memang dimaklumi hampir setiap bangunan dan pejabat kerajaan dilengkapi dengan sistem kad perakam waktu (punch card, thumb print) mahupun GEMS yang mencatat dengan tepat kedatangan pergi dan balik setiap mereka ini.

Dengan terlaksananya skim baru ini, ekonomi negara akan lebih terurus, produktiviti akan ditingkatkan di samping menagih pengawas-seliaan yang lebih serius daripada setiap ketua jabatan atau bahagian. Tidak ada lagi nantinya isu ponteng kerja atau keluar pejabat tanpa kebenaran.

Malah skim ini akan menerbitkan perbincangan dan perdebatan yang sihat dalam kalangan yang berkenaan.

Siapa tahu mungkin nantinya setiap jabatan akan memiliki kantinnya yang tersendiri yang dapat membantu perolehan jabatan melalui komersialisasi premis. Renungkanlah.

Pemerhati Prihatin, Bunut

ARTIKEL YANG SAMA