Cadang hidupkan semula Pasar Baru Seria

Cadang hidupkan semula Pasar Baru Seria

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 30 Sept – Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria sedang mengusulkan rancangan untuk merombak keadaan pasar basah di sini dengan menghidupkannya semula tanpa perlu mengubah konsepnya sebagai ‘pasar basah’ yang menjual barang-barangan runcit segar dan ternakan.

Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait, Awang Sarih bin Tabong ketika mengulas mengenai Pasar Baru Seria yang sudah kurang dikunjungi dan turut menjelaskan pihak mereka sedang mengkaji cara untuk menarik semula pelanggan ke pasar berkenaan.

Menurutnya, antara yang dibincangkan adalah untuk mewujudkan peniaga yang menjual ikan di dalam akuarium yang lebih menjamin kesegaran produknya, dengan mengambil contoh daripada perniagaan yang sama dijalankan di ibu Negara.

Selain itu, katanya, ia dapat menambahkan lagi keunikan kepada pasar berkenaan, kerana jualan ikan segar di dalam akuarium masih belum banyak diadaptasikan secara meluas dalam pasaran di sini, selain hanya terdapat di beberapa tempat, seperti di restoran-restoran.

Dalam penyusunan semula kawasan berkenaan, Awang Sarih juga berkata, pelan hanya membenarkan perubahan kecil untuk keselesaan peniaga, kerana bangunan pasar perlu mengekalkan reka bentuk sebagai ‘tamu’ dan tidak boleh diubah menjadi sesuatu yang serupa dengan pasar raya.

Kelihatan Pasar Baru Seria yang sepi dan lengang.
Kelihatan Pasar Baru Seria yang sepi dan lengang.

Katanya lagi, sementara mendapatkan input daripada agensi-agensi kerajaan yang lain, Jabatan Bandaran juga turut mengalu-alukan idea dari syarikat-syarikat swasta yang mungkin berminat dalam memberi nafas baru pada pasar basah tersebut.

“Rancangan masih dalam peringkat cadangan, namun sebaik saja lengkap, kami akan menghadapkan kertas kerja kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, dan ianya nanti mungkin akan berubah atau mendapat tambahan,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun ianya mungkin akan mengambil sedikit masa lagi, tetapi jabatan mereka akan melakukan yang terbaik untuk mengusulkan rancangan itu secepat mungkin.

Baru-baru ini, peniaga-peniaga di Pasar Baru Seria, melahirkan harapan supaya pihak kerajaan akan tampil dengan pelan yang lebih berstrategi bagi usaha memulihkan semula keadaan aktiviti perniagaan di pasar berkenaan yang sudah semakin merosot.

Antara peniaga yang masih bertahan walaupun jualan tidak begitu menguntungkan.
Antara peniaga yang masih bertahan walaupun jualan tidak begitu menguntungkan.

Ramai kalangan peniaga juga telah mengosongkan bangku jualan mereka, mengakibatkan pasar menjadi sepi, sementara kemudahan awam yang ada turut mengalami kerosakan, termasuklah juga beberapa tempat di pasar yang tidak mempunyai bekalan tenaga elektrik, dan kerap mengalami air tersumbat dan sebagainya.

Sementara itu, sebahagian daripada peniaga sayur-sayuran dan buah-buahan pula mendakwa mereka memulakan operasi perniagaan awal pagi dan menutupnya kira-kira jam 10 pagi kerana sudah tidak dikunjungi ramai pelanggan.

Terdapat kurang daripada sepuluh peniaga yang dilihat masih bertahan di pasar tersebut, menjual barangan mereka secara kecil-kecilan, walaupun bagi mereka berniaga di pasar yang mendapat gelaran ‘Pasar Hantu’ itu sudah tidak mendatangkan keuntungan, namun mereka masih yakin pihak kerajaan akan membantu memperbaiki keadaan itu nanti.

Di samping menjual sayuran dan buah-buahan, peniaga-peniaga di sana juga telah mencuba untuk menambahkan nilai perniagaan dengan menjual pakaian, produk tempatan semata-mata untuk menarik minat para pengunjung ke sana, tetapi setakat ini ia nampaknya belum berjaya.

ARTIKEL YANG SAMA