Cadang lampu isyarat

Cadang lampu isyarat

Jalan industri Beribi semakin hari semakin sibuk lebih-lebih lagi jalan ini merupakan jalan penghubung dan laluan pintas (short cut) bagi mereka yang akan pergi ke Bandar Seri Begawan (BSB) dan dari BSB untuk menuju balik ke kawasan Beribi, Gadong, Jangsak, Kilanas dan lain kawasan sekitarnya di Jalan Tutong dan kawasan Katok dan Mata Mata melalui Jalan Gadong dan Jalan Pengiran Al Muhtadee Billah.

Di kawasan Jalan Industri Beribi ini jua terletak bermacam-macam perniagaan yang dulunya hanyalah perniagaan berkenaan dengan industri kereta dan bengkel-bengkel. Akan tetapi sekarang, sudah ada medan selera (Sumbangsih Mulia), dewan serba guna, apartmen, institusi bank dan kewangan, pejabat insurans.

Ini menjadikan keadaan lalu lintas bertambah sibuk. Jalan yang paling sibuk ialah Simpang 46 yang menuju ke semua perniagaan dan perusahaan yang saya sebutkan di atas, lebih-lebih lagi mereka yang dari hala kawasan Gadong dan kawasan BSB.

Bagi mengelakkan kemalangan dan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku dan mengelakkan kesesakan lalu lintas, maka sudah sampai masanya persimpangan Jalan Industri Beribi dan Simpang 46 ini diubah suai dengan mengadakan pusing keliling atau dipasang lampu isyarat.

Diharapkan pihak Majlis Keselamatan Jalan Raya akan mengadakan lawatan dan seterusnya membuat penilaian bagi maksud yang saya cadangkan ini.

– Awang Liyah, Jalan Gadong

ARTIKEL YANG SAMA