Cadang nama tertuduh dalam ‘senarai berhenti’

Cadang nama tertuduh dalam ‘senarai berhenti’

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Feb – Seorang Ketua Majistret, hari ini, mencadangkan Pegawai Pendakwa Kastam untuk menyenaraikan nama seorang wanita tempatan dalam ‘senarai berhenti’ untuk pemeriksaan di pos-pos kawalan selepas mendapati dia melakukan kesalahan yang sama sebanyak tiga kali pada 2014 dan 2015.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli terdahulu menjatuhi denda $6,000 ke atas Isna Shahrina binti Ishak, 30, yang mengaku bersalah atas dakwaan memiliki tiga karton rokok, 48 tin dan dua botol minuman keras pada 22 Februari 2014.

Dia juga berdepan pertuduhan memiliki empat karton rokok pada 24 Mac 2015 dan lima lagi karton rokok pada 25 Mei 2015.

pg06_160301_mahkamah logo2

Defendan dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu ketika ditahan di Pos Kawalan Kuala Lurah.

Ketua Majistret membenarkan defendan untuk membayar denda itu secara ansuran iaitu $250 setiap bulan sehingga habis, bermula hujung Mac selepas mendengar rayuannya untuk diberikan pertimbangan memandangkan dia tidak bekerja dan mempunyai anak yang ramai, tambahan lagi gaji suaminya tidak mencukupi untuk membayar denda sejumlah itu.

Gagal membayar denda itu akan menyebabkan defendan terpaksa meringkuk di penjara selama enam bulan.