Cadang penyelesaian kedatangan penjawat awam

Cadang penyelesaian kedatangan penjawat awam

MENURUT Peraturan-peraturan Am atau Perkhidmatan dan Hal Ehwal Pengurusan Dalam Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan pada tahun 2012 (buku biru), waktu bekerja bagi setiap penjawat awam ialah 7:45pagi sehingga 12:15 tengah hari dan 1:30 petang sehingga 4:30 petang.

Memang tidak disangkalkan isu kedatangan waktu bekerja sudah menjadi masalah semenjak dari dahulu lagi. Akan tetapi kita juga harus mempunyai sifat empati di mana kita letakkan diri kita dalam situasi yang sama, contohnya seorang ayah yang terpaksa menghantar tiga orang anaknya di sekolah yang berlainan, mungkin itu juga salah satu sebab mengapa si ayah ini datang lewat ditambah pula dengan tempat bekerja jauh dari tempat tinggal. Tidak semua orang mempunyai nasib yang sama, jika mengikut cadangan yang pernah diutarakan sebelum ini yang mana gaji dicadangkan mengikut waktu jam bekerja, mungkin gaji yang diterima si ayah ini kurang daripada gaji bulanan yang diterimanya sebelum ini.

Tambahan pula dengan tanggungan yang banyak dan harga barang yang semakin menaik, ini akan mendatangkan beban kepada si ayah tersebut dan seterusnya akan menjejaskan mutu kerja yang sebelum ini lebih baik.

Dalam satu titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-65 tahun pada 13hb Sya’ban, 1432H bersamaan 15hb Julai, 2011 yang berbunyi:-

“Satu lagi faktor penting menuju pembangunan yang berdaya tahan ialah, peningkatan produktiviti di dalam sektor awam dan swasta dengan penggunaan teknologi terkini dan pelaburan dalam penyelidikan dan inovasi.”

Merujuk titah tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menitikberatkan peningkatan produktiviti dan penggunaan teknologi yang semakin berkembang dari semasa ke semasa. Pertamanya, peningkatan produktiviti boleh terhasil dari pekerja yang bahagia seperti yang didapati dalam satu kajian oleh University of Warwick, “Happiness makes people more productive at work.”

Keduanya, menggalakkan penggunaan teknologi terkini dalam sektor awam yang mana ini telah diambil tindakan oleh perkhidmatan awam dengan salah satunya menubuhkan sistem penggunaan GEMS. Seperti yang dimaklumi hampir setiap perkhidmatan awam menggunakan sistem ‘GEMS’ di mana ia berkebolehan merekodkan kedatangan setiap penjawat awam. Di sini saya ingin mengusulkan satu cadangan tambahan buat sistem ini untuk merekodkan juga jam lewat kedatangan terkumpul.

Contohnya waktu bekerja setiap warga perkhidmatan awam bermula dari 7:45 pagi sehingga 12:15 tengah hari, si ayah yang saya sebutkan tadi datang pada jam 8 pagi yang mana 15 minit lewat. Perkara ini diulangi lagi keesokan harinya, yang mana kalau dicampurkan menjadi 30 minit. Jangkaan saya waktu jamnya itu akan menjadi banyak.

Jadi saya cadangkan sistem ‘GEMS’ ini merekodkan kedatangan lewat si ayah itu kerana kedatangan jam lewat tersebut ada kegunaannya di kemudian hari.

Kegunaan yang saya maksudkan di sini ialah sekiranya si ayah ini diminta bertugas di luar waktu bekerja iaitu selepas 4:30 petang, si ayah ini mempunyai jam lewat kedatangan harian yang terkumpul, jadi waktu bekerja lebih masa ini akan ditolak dari jam lewat yang tercatat dalam sistem dan beliau tidak dibenarkan untuk menuntut elaun lebih masa, elaun bermalam jika ada, dan tidak berkelayakan untuk memohon off in lieu sehingga jam lewat beliau yang terkumpul habis digunakan.

Dengan terlaksananya cadangan ini secara selaras dengan semua perkhidmatan awam, terhasillah satu alternatif untuk mengawal masalah kedatangan warga perkhidmatan awam tanpa mengubah gaji yang mereka terima dan juga dalam masa yang sama mewujudkan suasana keharmonian di antara warga perkhidmatan awam, pengawalan yang lebih teratur bagi peruntukan perkhidmatan awam contohnya elaun lebih masa, meningkatkan disiplin warga perkhidmatan awam dari segi kedatangan, menjadi role model buat generasi akan datang.

– H.A

ARTIKEL YANG SAMA