Cadang wujud Majlis Perundingan Parlimen KB

Cadang wujud Majlis Perundingan Parlimen KB

KOTA BELUD, 4 Okt (Bernama) – Anggota Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan mencadangkan agar Majlis Perundingan Parlimen Kota Belud (KB) diwujudkan di kawasan parlimen itu bagi memudahkan proses perancangan dan pelaksanaan pelbagai program dan pembangunan di kawasan berkenaan.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata beliau akan berbincang dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Tempasuk dan Kadamaian di dalam kawasan Parlimen Kota Belud tentang bagaimana idea itu dapat direalisasikan.

Katanya dengan adanya platform seperti itu ia akan memberi ruang kepada pemimpin masyarakat setempat dan bertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berhimpun dan bersama-sama membincangkan pelbagai isu melibatkan kepentingan Kota Belud dan penduduknya termasuk isu keselamatan, pembangunan dan perancangan dalam suasana lebih formal dan teratur.

Pada majlis itu, selain berdialog, Abdul Rahman yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO turut menjelaskan beberapa isu tempatan Kota Belud seperti masalah bekalan air bersih dan pembangunan daerah serta isu politik nasional dan kepimpinan negara.

Menurut beliau platform majlis perundingan seperti itu juga akan membantu ADUN di kawasan Kota Belud untuk mengenal pasti apa-apa masalah di kawasan masing-masing serta dapat membezakan secara jelas masalah yang perlu diberi perhatian dan ditangani mengikut keutamaan.

Katanya beberapa kawasan parlimen di Semenanjung sudah melaksanakan pendekatan itu dan terbukti berkesan dalam usaha merancang dan melaksanakan program pembangunan serta menyelesaikan isu-isu semasa.

Abdul Rahman berkata sekiranya majlis perundingan ini dapat direalisasikan, beliau mencadangkan agar ia dilaksanakan setiap dua atau tiga tahun sekali dan dicadang dimulakan pada suku pertama tahun 2016.