Cadang wujud pangkalan data pelancongan untuk Semporna

Cadang wujud pangkalan data pelancongan untuk Semporna

KOTA KINABALU, 21 Nov – Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mencadangkan agar kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar mewujudkan pangkalan data pelancongan khususnya bagi daerah Semporna.

Datuk Seri Nasir Tun Sakaran (BN-Senallang) berkata ia penting sebagai rujukan kepada pengusaha industri, kerajaan dan pemimpin masyarakat setempat untuk merangka pelan pembangunan masa hadapan bagi mempromosikan produk pelancongan di kawasan itu.

“Langkah ini (pewujudan pangkalan data) perlu bagi memastikan kelebihan Semporna sebagai lokasi tumpuan pelancong di dalam dan luar negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya, bukan sahaja untuk negeri dan negara, tetapi untuk penduduk tempatan.

“Semporna memang sudah terkenal…semua orang tahu Pulau Sipadan sebagai pusat selaman bertaraf dunia. Jadi kita juga meminta kerjasama agensi pelancongan negeri dan persekutuan untuk meningkatkan lagi prasarana sedia ada,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2017 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Nasir berkata isu keselamatan negeri khususnya di kawasan perairan perlu dibincangkan secara holistik dan menyeluruh.

“Perkembangan yang berlaku di negara-negara jiran harus dilihat dalam perspektif keselamatan negara. Bukan hanya kepada kes penculikan semata-mata kerana saban tahun kita berhadapan dengan jenayah culik rentas sempadan yang ternyata masih belum dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA