Cadangan atasi banjir kilat yang kerap

Cadangan atasi banjir kilat yang kerap

PADA minggu lepas banjir kilat telah terjadi di Daerah Brunei dan Muara dan kawasan-kawasan seperti Jangsak, kawasan Ban, Mulaut, Jalan Gadong dan Jalan di Kampung Bunut. Saya telah mengambil inisiatif untuk melihat kawasan- kawasan tersebut dan mendapati bahawa longkang (sama ada longkang konkrit atau longkang semula jadi) yang terdapat di kiri dan kanan jalan-jalan Ban 1 hingga 5 dan Jalan Kilanas di penuhi rumput-rampai dan kotoran.

Di Jalan Gadong, lebih-lebih lagi dari Simpang Gadong hinggalah ke depan Masjid Jubli Perak, Jangsak, berlaku banjir kilat sehingga tidak dapat dilalui. Ini disebabkan banjir keadaan longkang-longkang di situ tidak dibersihkan dan air tidak dapat mengalir, sekali gus menyebabkan air melimpah ke jalan raya dan berlaku banjir kilat.

Selain itu, saya dapati longkang-longkang konkrit yang ada, adalah terlalu kecil dan cetek. Perkara yang sama juga menyebabkan Jalan Kg Bunut (Jalan Tutong)  kerap dilanda banjir kilat apabila berlaku hujan lebat.

Kita maklum yang pihak kerajaan berusaha semampu dan sedaya upaya dalam menangani dan akhirnya menghapuskan masalah banjir ini namun isu ini tetap berlaku juga. Ini saranan saya sebagai pemerhati.

Agensi jabatan kerajaan yang berkenaan harus mengaktifkan dredging machines (mesin penggali) supaya sungai-sungai kecil dan longkang-longkang besar (monsoon drains) mampu mengalirkan air lebihan yang berpunca dari hujan lebat ini ke muara sungai dengan sesegeranya.

Proses penggalian ini bukanlah dijalankan setelah peristiwa banjir ini berlaku tapi setiap masa, sekurang-kurangnya sebulan sekali dan tempat-tempat berisiko dikenalpasti. Pihak Bahagian Saliran dan Pembetungan dengan kerjasama agensi yang berkenaan juga harus berusaha untuk mendirikan dinding-dinding sungai (raised river banks) dan membuat pemantauan setiap masa mengenai keberkesanannya.

Mengenai dengan isu banjir kilat, kerap didapati punca peristiwa ini terjadi ialah kurangnya pemantauan longkang-longkang di tepi jalan yang kadangkala ditumbuhi lalang dan pemendapan tanah serta sampah-sarap yang dibuang secara berleluasa. Siapa harus disalahkan? Kita harap janganlah ada adegan menuding jari dan kita giatkan usaha untuk membuat proses penggalian longkang secara terurus bagi memastikan pemendapan tanah dalam longkang tidak terjadi. Pemikiran (mindset) pihak awam juga perlu bagi memastikan sampah-sarap dibuang di tempat yang disediakan dan bukannya dibuat secara semberana.

Semuanya mudah, tapi anjakan para-digma perlu kita timbulkan dalam diri kita dalam kita menuju kearah Wawasan 2035 iaitu 19 tahun dari sekarang. – Awang Marol, Kg Bunut dan Ugan Brunei

ARTIKEL YANG SAMA