Cadangan bina pondok polis di Kampung Sungai Teraban

Cadangan bina pondok polis di Kampung Sungai Teraban

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 7 Jun – Klinik lama yang ditinggalkan kosong di Kampung Sungai Teraban dicadangkan supaya diubah menjadi pondok polis dalam usaha untuk meningkatkan pencegahan jenayah di negara ini, khususnya di kampung tersebut.

Ketua Kampung Sungai Teraban, Awang Mohd Mersidi bin Mohd Shara mengusulkan cadangan itu ketika ditemui hari ini, sambil berkata, walaupun statistik kadar jenayah bulanan di kampung itu kekal rendah, tetapi perlu bersiap sedia, jika berkemungkinan ia berlaku dan patut diberikan perhatian.

Beliau menekankan, cadangan pondok polis dibina di kawasan berkenaan dibuat ekoran kejadian di kampung tersebut baru-baru ini, yang telah meragut nyawa seorang warga asing, yang dipercayai satu kejadian pembunuhan.

Menurutnya, kampung tersebut agak sunyi, terutama di kawasan kejadian baru-baru ini, yang mudah terdedah dengan kegiatan-kegiatan negatif, terutamanya keadaan yang begitu gelap pada waktu malam sehingga agak sukar orang ramai melihat jika berlaku aktiviti yang mencurigakan.

Tambahnya lagi, sebelum ini juga pernah berlakunya kejadian sekolah dipecah masuk beberapa kali dan hanya diketahui keesokkan harinya.

Awang Mohd Mersidi juga memberitahu, jika dipasang lampu di kawasan terbabit juga mungkin boleh membantu, dan menurutnya apa yang diperlukan juga adalah gerakan yang lebih aktif oleh pihak berkuasa, terutamanya pihak polis untuk membuat rondaan di sekitar kampung khususnya pada waktu malam.

“Dengan adanya kawalan ketat di kawasan-kawasan tertentu di kampung ini, akan menjadikan pelaku jenayah tidak berani melakukannya di kampung ini, dan kami berharap kepada pihak-pihak tertentu yang telah meninggalkan bangunan sehingga terbiar, untuk segera melakukan sesuatu, dan tidak membiarkannya begitu saja,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, menurut Awang Mohd Mersidi lagi, sejak tertubuhnya jawatankuasa pengawasan kejiranan di kampung itu dengan kerjasama pihak polis, sedikit sebanyak membantu kampung dalam mencegah jenayah dan memastikan keselamatan penduduk kampung.

“Tetapi ahli-ahli pengawasan kejiranan hanya dapat beroperasi sepenuhnya di bawah pengawasan pihak polis, dan tanpa mereka, ia juga agak tidak selamat, dikhuatiri berlaku perkara yang tidak diingini semasa operasi.

“Keselamatan penduduk perlu menjadi keutamaan, dan perlu terdapatnya pemantauan berterusan di kawasan kampung ini, terutama sekali pergerakan keluar dan masuk dari kampung ini,” ujar Awang Mohd Mersidi lagi.

ARTIKEL YANG SAMA