Cadangan kaji semula OSA bukti kebocoran maklumat serius

Cadangan kaji semula OSA bukti kebocoran maklumat serius

KOTA BELUD, 8 Feb – Cadangan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengkaji semula hukuman Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 adalah bukti kebocoran maklumat rahsia kerajaan semakin serius, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berpendapat cadangan untuk meminda akta itu bagi tujuan mengenakan hukuman lebih berat terhadap mereka yang membocorkan rahsia negara atau kerajaan jelas membuktikan kerajaan serius untuk menangani permasalahan itu.

“Kita bertanggungjawab menentukan amanah diberikan kepada kita itu harus disimpan baik-baik kerana perbuatan (membocorkan maklumat rahsia kerajaan) itu boleh menjejaskan keselamatan negara,” katanya kepada pemberita sebagai mengulas cadangan peguam negara berhubung perkara itu, di sini hari ini.

Baru-baru ini, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan dan memetik Mohamed Apandi sebagai berkata beliau sedang menimbang untuk meminda OSA bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang terlibat membocorkan rahsia kerajaan dan negara dan mereka yang melaporkan berita tentang rahsia itu.

Peguam Negara berkata beliau melihat kepada kemungkinan mengenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan untuk pesalah.

Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak bersalam dengan orang ramai ketika tiba menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di rumah Kapitan Cina, Andi Chua (dua kanan) di Kota Belud. – Bernama
Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak bersalam dengan orang ramai ketika tiba menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di rumah Kapitan Cina, Andi Chua (dua kanan) di Kota Belud. – Bernama

Mohamed Apandi juga dilaporkan sebagai berkata wartawan yang didapati melindungi atau enggan mendedahkan sumber maklumat yang mereka perolehi juga boleh dikenakan tindakan itu.

Salleh, yang turut bersetuju dengan pandangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar mana-mana pihak tidak mempolitikkan keputusan peguam negara itu, berkata kerajaan sudah tentu mengalu-alukan dan akan mendengar pendapat pelbagai pihak sebelum keputusan rasmi dikeluarkan.

“Sudah tentu sebarang cadangan dan pandangan daripada rakyat akan diteliti sebelum sesuatu tindakan diambil, apa yang penting kita tidak harus mempolitikkan isu ini sepertimana ditegaskan timbalan perdana menteri,” katanya.

Mengulas pengamal media akan dikenakan tindakan jika melindungi atau enggan mendedahkan sumber maklumat diperolehi, Salleh berkata setiap wartawan di negara ini mesti mempunyai sikap bertanggungjawab dalam melaporkan berita dan mereka tidak seharusnya beranggapan tidak boleh mendedahkan sumber maklumat atas alas an menjaga etika kewartawanan.

“Kadang-kadang (berita) ini bocor daripada maklumat kerajaan dan ia (kebocoran maklumat) adalah satu kesalahan. Jika wartawan melaporkan hal-hal yang salah di sisi undang-undang, maka (secara tidak langsung) wartawan terlibat dengan kesalahan itu,” katanya. – Bernama